Susulan penularan Covid-19, Kesatuan Ulama Islam Sedunia (Kuis) mengeluarkan fatwa bahawa hukum penangguhan solat Jumaat adalah harus.
Berdasarkan laporan Al-Jazeera, fatwa tersebut adalah untuk semua negara yang berdepan penularan wabak itu dan turut terpakai untuk solat berjemaah secara am, ekoran perkembangan terbaru yang semakin membimbangkan di seluruh dunia.
Fatwa penangguhan itu adalah sehingga penularan wabak Covid-19 berjaya dikawal, yang akan ditentukan oleh pihak berkuasa.
Pautan pada laporan berkenaan turut dikongsikan oleh AJK PAS Pusat Muhammad Khalil Abdul Hadi di Facebooknya.
“Di Malaysia kita tunggu pandangan dari Majlis Fatwa Kebangsaan,” kata Adun Batu Buruk itu.
Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin turut berkongsi pautan berita sama.
“Persatuan Ulama Dunia yang menyeru seluruh kaum muslimin di negara yang mula tersebar Covid-19 menghentikan Solat Jumaat dan solat jemaah,” katanya.
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pada 13 Mac mengumumkan bahawa solat Jumaat digantikan dengan Zuhur yang dikerjakan di rumah.