Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis serbu kelab malam, 60 'pari-pari putih' ditahan

Polis menahan 60 wanita pelayan pelanggan (GRO) pelbagai warga asing yang bertemakan pakaian ala 'pari-pari putih' di sebuah kelab malam di Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata serbuan kira-kira 12.30 malam itu membawa kepada penahanan 52 wanita warga Thailand, tujuh warga Vietnam dan seorang warga Laos yang berusia 19 tahun sehingga 33 tahun.

"Mereka (wanita GRO) berpakaian seksi serba putih bagi menarik pelanggan berhibur dengan mengikut tema khas ala 'pari-pari putih' yang ditetapkan untuk malam itu.

“Sebagai daya tarikan, pengunjung boleh memberikan tips kepada wanita-wanita terbabit dengan menghadiahkan ‘kain selempang’ yang dibayar dengan harga antara RM100 hingga RM5,000 bagi mendapat layanan khas,” katanya dalam sidang media kepada pemberita di lokasi kejadian.

Nik Ros Azhan berkata turut ditahan seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun yang berperanan sebagai penjaga premis, serta tiga pekerja lelaki asing terdiri daripada dua warga Vietnam dan seorang warga Bangladesh.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati pusat hiburan ini mempunyai lesen beroperasi yang sah sehingga akhir tahun ini namun pemiliknya didapati menggaji wanita warga asing secara haram untuk bekerja sebagai GRO di premis berkenaan.

Katanya, kesemua yang ditahan, dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39B di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1992.

Serbuan berakhir kira-kira jam 2 pagi itu dijalankan oleh 18 pegawai dan anggota Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS