Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images

ULASAN | Dengan rendah diri menyusun jari saya merayu kepada sahabat-sahabat tabligh yang dikasihi, di negeri Perlis, juga di luar Perlis yang terbabit dengan perhimpunan di Sri Petaling baru-baru ini, pergilah membuat pemeriksaan di pusat-pusat kesihatan yang disediakan.

Beberapa pihak memaklumkan kepada saya masih ada yang belum melakukan pemeriksaan. Ada yang memberikan alasan penyakit dari Allah, kita perlu reda. Ada pula yang berkata 'masjid tempat baik, tiada jangkitan akan berlaku'.

Ada pula berkata 'jangan takut virus tapi takut Allah'. Ada pula berkata 'kalau mati syahid' dan pelbagai lagi falsafah yang disalahgunakan.

Operasi mencari di merata tempat

Penyakit ini berjangkit. Jika sekadar menimpa seseorang tanpa membabitkan orang lain, maka itu terpulang pada individu tersebut. Ada pendapat fuqaha di situ.

Namun, bagi virus yang mudah berjangkit seperti ini, ditambah dengan kehadiran saudara-saudara secara aktif ke masjid dan surau, amatlah salah kerana telah membahayakan masyarakat yang lain. 

Agama melarang kita membahayakan pihak lain tanpa alasan yang benar.

Tidak wajar untuk kita menambah beban kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mencari saudara-saudara ke serata tempat untuk diperiksa.

Saya difahamkan di Perlis pihak KKM terpaksa buat operasi mencari saudara-saudara yang terbabit. Berikanlah kerjasama dan kasihanilah umat Islam yang lain.

Bahkan bukan muslim sekalipun tidak boleh kita membahayakan mereka. Janganlah saudara-saudara hadir ke masjid atau selainnya melainkan saudara-saudara disahkan selamat.

Saya benar-benar memohon merayu kepada saudara-saudara yang terbabit. Saya percaya saudara-saudara orang yang baik-baik dan ingin mencari redha Allah. Niat saudara ingin berjemaah juga baik, tapi tolonglah.


DR MOHD ASRI ZAINAL ABIDIN ialah Mufti Perlis.

Artikel ini asalnya hantaran penulis di media sosial dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS