Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran (MTHQA) Peringkat Antarabangsa Tahun 1441H yang dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 6 hingga 11 April ini ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Paimuzi Yahya dalam kenyataan hari ini berkata langkah itu diambil susulan keputusan kerajaan agar semua perhimpunan termasuk acara yang melibatkan penyertaan dalam dan luar negara ditangguhkan berikutan situasi semasa wabak COVID-19.
Jakim adalah urus setia MTHQA yang merupakan acara tahunan negara sejak 61 tahun lepas, katanya.
Setiap tahun acara itu disertai oleh lebih 60 negara dari seluruh dunia bagi memperdengarkan bacaan dan hafazan ayat-ayat suci al-Quran al-Karim.
- Bernama