Selepas beberapa pimpinan Umno mempertikaikan komposisi kabinet yang dibentuk perdana menteri, Muhyiddin Yassin, timbalan presiden Umno, Mohamad Hasan juga mengambil langkah yang sama.
Kata Mohamad, walaupun pelantikan kabinet adalah budi bicara Muhyiddin selaku perdana menteri, adalah jelas Umno selaku blok ahli Parlimen terbesar diketepikan dengan cara yang sangat tidak adil.
"Pertama, pemberian portfolio kementerian yang tidak kritikal.
"Keadaan ini sama sekali tidak setimpal dengan jumlah ahli parlimen yang disumbangkan oleh Umno dan tahap pengalaman yang dimiliki oleh mereka.
"Kedua, keanggotaan kabinet secara jelas memberikan manfaat yang sangat besar kepada blok Bersatu dan Datuk Seri Azmin Ali," katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, walaupun bukan 'kepentingan paling afdhal' untuk Umno memegang kedudukan dalam kerajaan, adalah mustahak bagi Muhyiddin mengikut saiz perwakilan parti.
Jelasnya, ia merupakan amalan dalam sistem westminster dan perwakilan kabinet yang setara dengan saiz diwakili parti merupakan sistem yang terbukti berjaya.
"Sebuah kabinet yang kuat, terbukti dan inklusif adalah kritikal bagi memastikan kejayaan PN.
"Tanpa sebuah Kabinet yang kuat, Malaysia akan terus menerus menyaksikan polemik politik yang tidak berkesudahan sekali gus tidak memungkinkan kita untuk memberi perhatian kepada pembangunan dan daya saing bangsa," katanya.
Bersatu pada masa ini memegang lebih banyak jawatan kabinet dan timbalan menteri berbanding jumlah kerusi Dewan Rakyat dalam gabungan yang terdiri daripada Umno, PAS dan GPS.
Ketika kabinet diumumkan pada 9 Mac lalu, semua pemimpin dari kem Azmin yang menyertai Bersatu untuk bersama kerajaan Perikatan Nasional, diberikan jawatan kabinet.
Ini menyebabkan Ketua Umno bahagian Johor Bahru Shahrir Samad dan ahli majlis tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman serta Azalina Othman mempertikaikan komposisi berkenaan.
Selepas mesyuarat majlis tertinggi Umno semalam, Zahid mempertahankan komposisi kabinet Muhyiddin dengan mengatakan parti itu akan memastikan prinsip 'semak dan imbang' terhadap kerajaan pimpinan perdana menteri itu.