Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Muhyiddin: K'jaan tambah bilangan hospital rawat Covid-19

Dalam usaha menangani penularan Covid-19 yang kini mengancam dan membimbangkan masyarakat dunia, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini menggariskan beberapa tindakan bagi Malaysia menangani jangkitan penyakit itu.

Menyedari negara berdepan dengan peningkatan kes dalam gelombang kedua Covid-19, Perdana Menteri berkata kerajaan akan meningkatkan bilangan hospital bagi merawat kes-kes Covid-19.

Selain mengenal pasti Hospital Sungai Buloh dan sebuah hospital di setiap negeri sebagai hospital khusus untuk merawat kes-kes Covid-19 beliau berkata sehingga kini, 26 buah hospital kerajaan dan sebuah hospital universiti iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya, mempunyai keupayaan untuk mengendalikan kes-kes Covid-19.

"Di samping itu, terdapat 57 hospital kerajaan dan 170 klinik kesihatan di seluruh negara yang bersedia untuk melaksanakan saringan kesihatan ke atas mereka yang bergejala penyakit Covid-19," kata Perdana Menteri dalam perutusan khas yang disiarkan menerusi stesen-stesen televisyen malam ini.

Beliau berkata kolaborasi dengan hospital swasta, hospital di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia dan hospital universiti telah dimulakan sebagai persediaan untuk menerima pertambahan kemasukan pesakit kes-kes Covid-19.

Muhyiddin berkata kemampuan makmal untuk melakukan ujian pengesanan Covid-19 juga ditingkatkan, termasuk 22 buah makmal di bawah Kementerian Kesihatan dan makmal lain di bawah Kementerian Pertahanan serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

Walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk mengawal penularan wabak ini, Malaysia masih berdepan dengan peningkatan kes COVID-19, dan dalam gelombang kedua ini terdapat 175 kes.

Malaysia mencatatkan 22 kes pada gelombang pertama dengan catatan kes positif koronavirus di negara ini bermula pada 25 Jan.

Pada 11 Mac, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan penularan wabak Covid-19 sebagai pandemik kerana terdapat peningkatan kes yang ketara di seluruh dunia.

Perdana Menteri berkata kerajaan sedar bahawa langkah penting yang perlu diambil bagi mengekang jangkitan Covid-19 adalah sekatan perjalanan.

"Kerajaan akan meneruskan sekatan perjalanan untuk tiga wilayah di China iaitu Hubei, Jiangsu dan Zhejiang; Hokkaido, Jepun; Itali, Iran dan Republik Korea. Rakyat Malaysia dinasihatkan tidak melakukan perjalanan ke negara-negara yang terjejas dengan virus Covid-19," katanya.

Dalam perutusan khas 12 minit berkaitan Covid-19 di Malaysia, Perdana Menteri menegaskan kapal-kapal persiaran hanya dibenarkan berlabuh untuk penambahan bekalan dan hanya kru warganegara tempatan dibenarkan turun dari kapal, dan mereka dikehendaki melalui saringan kesihatan.

Beliau berkata kerajaan Perikatan Nasional amat prihatin dengan nasib rakyat Malaysia yang berada di negara-negara terjejas teruk dengan wabak COVID-19 seperti di China, Iran, Itali dan Korea Selatan.

Kerajaan Malaysia telah menggerakkan dua Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) ke Wuhan di wilayah Hubei, China, masing-masing pada 4 Feb yang membawa 107 rakyat Malaysia dan pasangan serta anak bukan warganegara; serta 68 rakyat Malaysia serta pasangan dan anak bukan warganegara pada 26 Feb.

“Seramai 65 orang rakyat Malaysia yang berada di Iran dan 323 orang yang berada di Itali sedang dalam proses untuk dibawa pulang,” kata Perdana Menteri.

Muhyiddin yang sedia maklum dengan kebimbangan rakyat Malaysia terhadap situasi semasa gelombang kedua penularan Covid-19 menegaskan, beliau diberikan laporan harian mengenai Covid-19 oleh Jawatankuasa Khas yang dipimpin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi membolehkan langkah-langkah terkini diambil untuk menghadapi segala kemungkinan yang boleh berlaku.

"Berhadapan dengan situasi ini, saya menasihatkan saudara dan saudari mengambil langkah bagi menghindarkan diri sendiri, anak-anak serta keluarga daripada dijangkiti wabak ini.

"Paling utama ialah amalkan penjagaan kesihatan yang tinggi dengan sentiasa bersihkan diri, menggunakan topeng muka dan hand sanitizer (cecair pembasmi kuman) serta kurangkan bersentuhan dan bersalaman," katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan memutuskan agar semua perhimpunan termasuk mesyuarat antarabangsa, acara sukan, sosial serta keagamaan ditangguhkan atau dibatalkan mengikut kesesuaian sehingga 30 April.

Katanya dalam situasi berkaitan, bekalan barang-barang keperluan rakyat dijamin mencukupi dan bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak di sekolah, Kementerian Pendidikan telah mengambil langkah-langkah pencegahan termasuk membatalkan sebarang bentuk perhimpunan bagi mengelakkan penularan penyakit ini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada petugas kesihatan, penjawat awam dan semua pihak yang terlibat secara langsung dalam usaha menangani Covid-19.

“Saya berdoa semoga wabak ini berjaya ditangani dengan segera dan kita semua dapat menjalani kehidupan bersama keluarga dengan rasa selamat," katanya mengakhiri ucapan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS