Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
ATM siap sedia bawa pulang rakyat M'sia dari Itali

Kementerian Pertahanan (Mindef) bersiap sedia untuk menggerakkan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Itali selepas wabak Covid-19 diisytiharkan sebagai pandemik.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ATM dalam keadaan 'bersiap sedia' jika diperlukan untuk misi bantuan kemanusiaan.

Beliau berkata setakat ini, Mindef menunggu arahan daripada Kabinet sekiranya hendak menggunakan pesawat ATM.

"Insya-Allah, kami bersedia dan sebarang tindakan hanya dapat diputuskan apabila kerajaan membuat keputusan untuk membawa pulang rakyat Malaysia di luar negara," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet pertama bagi kementeriannya di Wisma Pertahanan, di Putrajaya, hari ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengklasifikasikan Covid-19 sebagai pandemik.

Ismail Sabri berkata tiada kes penularan wabak Covid-19 melibatkan warga ATM dan pihaknya sentiasa mempertingkatkan langkah-langkah pencegahan Covid-19 selain bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung perkara itu.

"Setakat ini, tiada seorang yang dilaporkan dari kementerian saya disahkan positif COVID-19 dan satu jawatankuasa khas untuk menangani wabak berkenaan diwujudkan. Oleh itu, setiap pegawai dan anggota ATM diminta mengambil langkah berjaga-jaga berikutan penularan wabak Covid-19 termasuklah penugasan ATM di dalam dan luar negara,” katanya.

Ismail Sabri berkata sebarang penugasan melibatkan warga ATM di dalam dan luar negara masih berjalan seperti biasa namun langkah-langkah pencegahan Covid-19 dipertingkatkan.

"Setiap pegawai dan anggota ATM akan diberikan pendedahan tentang langkah berjaga-jaga. Tidak kira di kementerian, mana-mana kem atau di mana-mana sahaja mereka bertugas," katanya apabila ditanya mengenai anggota tentera yang terlibat dalam sebarang misi di luar negara.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata pihaknya bersedia menerima arahan dan cadangan daripada pihak KKM bagi membantu dalam mencegah wabak berkenaan.

"Sebagai langkah perlindungan di kementerian ini, kami ada menyediakan 'pencuci tangan pembasmi kuman' dan sebagainya untuk kakitangan Mindef setiap kali masuk pejabat. Selain itu, pencegahan wabak COVID-19 ini dalam kalangan warga ATM lebih mudah kerana mereka lebih memberi tabik hormat berbanding bersentuhan seperti bersalaman," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS