PAS akan tetap meneruskan dasar yang baik yang diperkenalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, meskipun negara hari ini di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN), Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga Siti Zailah Mohd Yusoff.
Diminta mengulas komen anggota parlimen Segambut Hannah Yeoh yang bimbang Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur yang dilancarkan PH sebelum ini akan diketepikan, Zailah berkata dia tiada masalah dengan mana-mana dasar.
Namun, katanya, dasar itu perlulah selari dengan al-Quran dan hadis.
“Saya tak menentang perkara untuk kebaikan, Islam lebih lagi nak membawa masayrakat kepada kebaikan, cuma kita letakkan landasannya al-Quran dan hadis. Itu yang kita pegang.
“Jadi insya-Allah setakat ini kita meneliti, mana-mana yang tidak bercanggah dengan al-Quran dan hadis, kita terima. Yang bercanggah, mungkin kita rujuk ulama, tengok suasana, keadaan dan masa yang sesuai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selepas menyampaikan makanan kepada golongan memerlukan di hadapan Pejabat Agung PAS, Kuala Lumpur hari ini.
Mengulas lebih lanjut mengenai pelan tersebut, kata Zailah, pelan itu akan diteliti semula memandangkan perkahwinan bawah umur disebabkan banyak faktor, seperti kemiskinan, sosial, dan adat, maka tidak wajar hanya satu formula digunakan untuk menyelesaikannya.
Tambahnya, dia bersama menterinya, Rina Harun sentiasa berbincang dengan pihak pengurusan tertinggi kerajaan untuk meneliti semua dasar kerajaan dari pelbagai sudut untuk dilakukan penambahbaikan.
Tiga hari lalu, Yeoh yang juga mantan timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat menyuarakan kebimbangannya bahawa pelan strategik itu mungkin diketepikan dengan pelantikan Zailah.
Ini ekoran Zailah, dalam sidang Dewan Rakyat, pernah meminta rakan wakil rakyatnya agar tidak mengaitkan soal perkahwinan bawah umur dengan agama Islam.
Dalam perbahasan parlimen April 2017, Zailah membidas anggota Parlimen Kulai Teo Nie Ching yang katanya, mempertikaikan mengapa Islam membenarkan perkahwinan di bawah umur.
Zailah meminta agar agama tidak dilibatkan dalam perbahasan usul Rang Undang-undang Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, kerana katanya, jenayah seksual- yang merupakan “keganasan”- berbeza dengan perkahwinan- yang merupakan “doa dan restu”.
Sebelum itu, dalam sidang sama, Teo membangkitkan bagaimana perempuan bukan Islam antara 16 hingga 18 tahun, boleh berkahwin jika mendapat kelulusan Menteri Besar atau Ketua Menteri, namun keadaan lebih teruk bagi perempuan beragama Islam yang boleh berkahwin pada mana-mana umur sekiranya mendapat keizinan Mahkamah Syariah.