Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
S'wak catat kes pertama Covid-19, ada hubungan ijtima' tabligh
Diterbitkan:  Mar 13, 2020 4:11 PM
Dikemaskini: 8:11 AM

Sarawak hari ini mencatatkan kes-kes positif Covid-19 buat pertama kali, dengan tiga daripadanya mempunyai hubungan dengan ijtima’ tabligh antarabangsa di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak berkata daripada tiga kes itu, dua adalah daripada kluster yang menghadiri ijtima’ itu pada 27 Februari hingga 1 Mac, manakala kes ketiga pula merupakan ahli keluarga.

“Jadi, kami meminta semua yang menghadiri perhimpunan itu dan berada di Sarawak untuk segera menghubungi hospital terdekat untuk penyiasatan Covid-19.

“Setakat ini, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak telah mengesan 236 peserta dan akan terus mengesan baki selebihnya,” kata pengerusi jawatankuasa itu, Douglas Unggah dalam satu kenyataan.

Sebelum ini dianggarkan 10,000 peserta daripada pelbagai negara menghadiri ijtima’ tabligh itu, yang separuh daripadanya merupakan rakyat Malaysia. Perhimpunan itu turut mempunyai hubungan dengan kes Covid-19 pertama dicatatkan di Brunei.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kemudiannya meningkatkan anggaran mereka sebanyak hampir dua kali ganda, menjadikan 16,000 peserta dianggar mungkin menghadiri perhimpunan itu. Daripada jumlah ini, 14,500 dijangka merupakan rakyat Malaysia.

Dalam kenyataan berasingan, jawatankuasa itu turut mengumumkan larangan terhadap semua perhimpunan awam dan perhimpunan kerajaan melibatkan peserta lebih 250 orang.

Semua perhimpunan seumpama itu ditangguhkan ke tarikh yang tidak dinyatakan.

Sarawak turut menasihat penduduknya agar menangguhkan semua perjalanan “tidak penting” ke Brunei, Sabah dan semenanjung Malaysia, dan supaya pengunjung dari luar mengelakkan diri daripada melawat negeri itu.

Sementara itu, Sabah merekodkan kes kedua.

Berdasarkan laporan akhbar Sabah, Daily Express, seperti kes pertama yang direkodkan dari Tawau, kes kedua yang merupakan seorang lelaki berusia 42 tahun dari Papar, turut dipercayai menyertai program tabligh itu.

Lelaki itu menjalani pemeriksaan di Hospital Papar pada Khamis malam dan dipindahkan ke Hosptial Queen Elizabeth untuk rawatan.

Setakat semalam, bilangan kes Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 158 kes, dan daripada jumlah itu, 32 orang telah pulih dan dibenarkan pulang dari hospital.

Malaysia turut mengenakan larangan perjalanan kepada semua warganegara Denmark, Itali, Iran dan Korea Selatan, serta terhadap pengunjung yang tiba dari negara berkenaan.

Itali, Iran dan Korea Selatan antara negara yang paling teruk terkesan dengan Covid-19 di luar China, manakala Denmark mengenakan perintah berkurung setelah mencatat peningkatan 10 kali ganda kes, melibatkan peningkatan sebanyak 500 kes.

Larangan perjalanan masuk dari Hubei, Zhejiang dan Jiangsu di China serta Hokkaida di Jepun masih berkuat kuasa.

Lebih 130,000 orang dijangkiti Covid-19 di seluruh dunia dengan 4,900 kematian dicatatkan.


Pastikan anda mendapat maklumat terkini wabak ini di Malaysia, menerusi laman khas Covid-19 tracker Malaysiakini, secara percuma.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS