Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pasaran saham Asia menjunam teruk, KLCI turut terjejas
Diterbitkan:  Mar 13, 2020 11:39 AM
Dikemaskini: 3:43 AM

Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) jatuh 1,325.20 mata atau 6.64 peratus daripada penutup semalam, hanya sejam selepas pasaran dibuka susulan Wall Street mengalami prestasi sehari terburuk dalam 33 tahun.

Indeks itu dibuka empat peratus lebih rendah daripada penutupan semalam ketika Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah melaksanakan sekatan perjalanan untuk mebendung pandemik wabak virus Covid-19 daripada terus merebak.

Sementara harga minyak pula terus jatuh kepada AS$30 setong.

Indeks penanda aras Tokyo, Nikkei menyusut lebih tujuh peratus sejurus selepas dibuka, dengan pasaran di rantau ini merosot selepas hari dagangan terburuk di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Indeks Nikkei 225 merosot 7.12 peratus atau 1,322.15 mata kepada 17,237.48 pada awal dagangan, sementara Indeks Topix jatuh 6.31 peratus atau 83.73 mata kepada 1,244.15.

Indeks ASX Australia susut 7.3 peratus dan indeks penanda aras New Zealand, NZX 50 merosot 7.9 peratus. Dagangan berhenti sementara di bursa saham Korea Selatan apabila indeks penanda aras KOSPI jatuh 6.8 peratus.

Kejatuhan itu susulan selepas keadaan dramatik di pasaran global yang lain, dengan Dow jatuh 10 peratus atau sekitar 2,350 mata kepada 21,200.62, sesi terburuknya sejak 1987.

London juga berdepan hari paling teruk sejak 1987 dan Frankfurt pula adalah hari paling gelap sejak 1989, tahun Tembok Berlin jatuh.

Paris berdepan kejatuhan harian paling teruk.

Bernama melaporkan Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini seiring dengan indeks penanda aras Asia, berikutan penjualan di Wall Street dalam tempoh semalaman selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik.

Susulan pengumuman WHO itu, Purata Perindustrian Dow Jones turun 9.99 peratus, S&P 500 susut 9.51 peratus dan Nasdaq turun 9.43 peratus semasa mengakhiri dagangan masing-masing.

Prestasi itu merupakan penurunan harian paling teruk dialami indeks Dow Jones dan S&P 500 bagi tempoh sejak 1987.

Pada 9.04 pagi hari ini, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 73.22 mata atau 5.15 peratus kepada 1,346.21 sekali gus menjadi paras terendah sejak 2010, daripada 1,419.43 ketika ditutup semalam.

Indeks tempatan itu dibuka 55.67 mata lebih rendah pada 1,4363.76.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 638 berbanding 31 manakala 79 kaunter tidak berubah, 1,274 kaunter tidak diniagakan dan 32 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 352.93 juta saham bernilai RM134.52 juta.

Tekanan jualan di Bursa Malaysia pagi ini dipengaruhi oleh penurunan ketara dalam tempoh semalaman di Wall Street.

Sentimen pasaran juga lemah seperti ditunjukkan FBM Small Cap (-6.08 peratus), FBM ACE (-6.27 peratus) dan Teknologi (-6.94 peratus).

“Saham-saham Malaysia akur kepada tekanan jualan susulan pengisytiharan WHO bahawa Covid-19 adalah satu pandemik.

“Susulan langkah WHO itu, kelembapan global mungkin meningkat melebihi paras 50 peratus (daripada 25 peratus yang dicatatkan sejak awal tahun ini) dan menimbulkan kebimbangan bahawa kesan penularan virus itu mungkin dialami di seluruh dunia,” menurut Malacca Securities Sdn Bhd.

Firma penyelidikan itu berkata selepas penurunan ketara semalam, peningkatan semula dijangka tidak dapat dicatatkan hari ini memandangkan sentimen pelabur masih lemah.

Pada masa yang sama, penjualan asing kekal tidak menentu, sekali gus meningkatkan tekanan jualan ke atas indeks berwajaran tinggi, dengan trend ini mungkin berpanjangan.

“Oleh itu, kami berpendapat paras 1,415 dijangka dicapai semula dan jika gagal, FBM KLCI boleh susut kepada paras 1,400. Kami berpandangan sebarang kenaikan semula pada masa ini adalah amat kecil, terhad kepada paras 1,445 hingga 1,455.

“Wujud juga penangguhan kenaikan bagi saham pasaran meluas berikutan sentimen yang lemah,” menurutnya.

Malacca Securities berkata berdasarkan minat yang semakin suran, tekanan penurunan ke atas saham murah akan terus menjejaskan prestasi harga saham masing-masing bagi jangka terdekat.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank turun 13 sen kepada RM8.15, Tenaga berkurangan 86 sen kepada RM11.56, Public Bank susut 66 sen kepada RM15.54 dan IHH menguncup 12 sen pada RM5.44.

Bagi saham aktif, Vortex Consolidation turun 2.5 sen kepada tiga sen, Sapura Energy susut 1.5 sen kepada 9.5 sen dan Borneo Oil kurang setengah sen pada dua sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 501.21 mata kepada 9,356.86, Indeks FBM Emas Syariah turun 584.16 mata kepada 9,947.92 dan FBM 70 merosot 605.58 mata kepada 11,077.12.

Indeks FBMT 100 turun 503.10 mata kepada 9,239.21 manakala FBM Ace menguncup 283.20 mata kepada 4,232.57.

Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian turun 8.14 mata kepada 111.30, Indeks Perladangan susut 287.94 mata kepada 5,932.61 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 494.77 mata kepada 13,080.30.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS