Kementerian Kesihatan menganggarkan jumlah peserta tabligh dari Malaysia di Masjid Sri Petaling yang dikaitkan dengan kes Covid-19 baru-baru ini, tiga kali ganda daripada yang dinyatakan sebelum ini.
Berdasarkan siasatan kementerian itu, KKM berkata terdapat kira-kira 16,000 peserta di ijtima tabligh antarabangsa di sebuah masjid Kuala Lumpur pada 27 Feb hingga 1 Mac.
Daripada angka tersebut, kira-kira 14,500 dipercayai rakyat Malaysia, menurut infografik yang dimuatnaik oleh Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah malam tadi.
Awal minggu ini, beliau berkata bilangan peserta yang hadir dianggarkan 10,000 orang, dengan separuh daripadanya adalah rakyat Malaysia.
Salah seorang daripada yang hadir acara keagamaan itu, berkata ia mungkin kerana terdapat ramai peserta Malaysia tidak mendaftar dan masuk ke acara tersebut, katanya yang enggan mendedahkan identitinya.
Enam kes melibatkan rakyat Malaysia dikaitkan dengan acara tersebut.
Kajian KKM juga mendapati enam kes Malaysia yang berkaitan dengan acara itu - tiga di Negeri Sembilan, satu di Tawau, Sabah, satu di Johor dan satu di Pahang.
Kes Negeri Sembilan melibatkan seorang lelaki berusia 26 tahun yang merupakan seorang pelajar di Korea Selatan dan bekerja sebagai ejen pelancong bebas.
Beliau pulang dari Korea Selatan pada 22 Feb, menghadiri acara tabligh itu dari 27 Feb hingga 1 Mac dan mengalami simptom-simptom pada 3 Mar. Dia ke luar negara sekali lagi pada 4 Mac dan kembali ke Malaysia.
Dua lagi kes di Negeri Sembilan melibatkan seorang lelaki dan seorang wanita, tetapi KKM tidak memberikan butiran mengenai mereka.
Bagaimanapun, semalam The Star melaporkan bahawa mereka merupakan sepasang suami isteri dan sedang menunggu keputusan ujian Covid-19.
Sementara itu, Sabah mencatatkan kes pertama di Tawau melibatkan lelaki berusia 58 tahun yang menghadiri acara tabligh itu.
KKM sedang mengesan kira-kira 350 orang dari Tawau yang dipercayai menghadiri acara itu. KKM telah membuat ujian terhadap 173 orang sehingga semalam.
KKM tidak memberi butiran berkenaan kes di Johor, yang berkait dengan acara tabligh tersebut.
Pada hari Rabu, kementerian mengumumkan kes pertama melibatkan rakyat Malaysia yang dikaitkan dengan kejadian itu - seorang lelaki dari Pahang, dimasukkan ke Hospital kerana masalah pernafasan. Dia kini dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Afzan.
Kemudahan ujian saringan di masjid
Kementerian itu juga telah menyediakan kemudahan ujian saringan di Masjid Sri Petaling, di samping Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad turut menggesa semua yang menghadiri acara tabligh itu untuk tampil menjalani ujian.
Difahamkan peserta dari Malaysia terdiri dari Perlis, Melaka, Johor, Sabah, Sarawak, Perak, Kelantan dan Negeri Sembilan.
Peserta luar negara merupakan dari Australia, Brunei, Kanada, Filipina, India, Indonesia, Afrika Selatan, New Zealand, Tunisia, Thailand, Vietnam, Kemboja, China, Jerman, Singapura, Arab Saudi, Korea Selatan, Bangladesh, Myanmar, Mesir, Tanzania, Gambia, Jepun, Kyrgyzstan, Turki, Amerika Syarikat dan Afghanistan.
Sehingga semalam, Brunei melaporkan 12 kes Covid-19 manakala Singapura mencatatkan dua kes yang berkaitan dengan acara tabligh itu.
Indonesia melaporkan dua kes, yang baru pulang dari Malaysia tetapi tidak dapat dipastikan sama ada mereka menghadiri acara tabligh tersebut.
Kes pertama yang berkaitan dengan acara tabligh itu merupakan seorang lelaki Brunei, yang datang dari Miri.
Semalam, timbalan pengerusi masjid berkenaan, Mohd Salleh Abd Mubin berkata ini bermakna lelaki itu mungkin dijangkiti dalam pesawat dan bukannya di masjid itu.
Laporan tambahan oleh Alyaa Alhadjri