Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Covid-19: Tangguh program sukan, kokurikulum - KPM
Diterbitkan:  Mar 13, 2020 9:57 AM
Dikemaskini: 1:57 AM

Kementerian Pendidikan hari ini mengarahkan supaya semua perhimpunan yang melibatkan orang ramai termasuk program sukan dan aktiviti kokurikulum ditangguhkan ke tarikh yang akan dimaklumkan kemudian, berikutan penularan Covid-19.

Menurut KPM, arahan itu sejajar dengan kenyataan Kementerian Kesihatan sebelum ini yang menggesa penangguhan aktiviti melibatkan orang ramai bagi mencegah wabak itu.

“KPM dengan ini memutuskan agar semua program KPM yang melibatkan perhimpunan ramai seperti program sukan dan aktiviti kokurikulum bagi bulan Mac 2020 ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

“Semua warga KPM diingatkan agar mematuhi sepenuhnya Standard Operating Procedure (SOP) pengawalan penularan jangkitan Coronavirus 2019 yang dikeluarkan oleh KKM.

“Warga KPM juga dinasihatkan agar menangguh perjalanan ke luar negara terutamanya ke wilayah atau bandar yang sedang mengalami wabak jangkitan Covid-19 sebagaimana yang telah dimaklumkan oleh KKM,” menurut kenyataan itu.

Setakat semalam, sembilan kes baru Covid-19 dikesan di Malaysia, menjadikan jumlah kes meningkat menjadi 158 kes.

Semalam, Malaysia mengenakan sekatan terhadap warganegara dan perjalanan masuk dari Itali, Iran, dan Korea Selatan.

Sementara itu, kabinet Perikatan Nasional akan membincangkan keperluan untuk menangguhkan acara-acara besar seperti Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) 2020 yang dijadualkan berlangsung pada November ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS