Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Mohamad berkata arahan untuk solat Jumaat digantikan dengan solat Zuhur di rumah hanya akan diputuskan dalam tempoh dua hingga tiga jam lagi.
Zulkifli berkata demikian ketika ditemui pemberita pada jam 9.15 pagi tadi.
Jelas beliau, pihaknya sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai hal ini.
"Saya setuju (saranan KKM), tapi perkara tersebut (solat Jumaat) kita perlu perhalusi sedikit sahaja masa lagi.
"Dalam beberapa waktu, dua, tiga jam kerana kita perlu bincang dari semasa ke semasa,” katanya selepas menyempurnakan majlis tahnik di Putrajaya, hari ini.
Lebih 40 orang bayi ditahnikkan pada majlis berkenaan.
Ambil satu pandangan tuntas
Manakala mengulas langkah kerajaan negeri Perlis yang memutuskan menggantikan solat Jumaat dan tindakan Singapura menutup semua masjid di negara itu, Zulkifli mengambil maklum perkara tersebut.
“Faham. Insya-Allah satu kenyataan akan dikeluarkan. Cumanya, kita bukanlah berlumba-lumba untuk keluar kenyataan dan saling bercanggah antara satu sama lain tetapi kita nak harmonikan dan ambil satu pandangan yang tuntas dan sesuai yang menjaga keadaan keseluruhan suasana, kewajipan agama dan juga apa yang kita sedang hadapi ini,” katanya.
Setakat semalam, Malaysia telah merekod 158 kes jangkitan Covid-19.
Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) semalam dilaporkan berkata 70 masjid di republik itu akan ditutup selama lima hari mulai hari ini sebagai langkah berjaga-jaga dan mencegah penularan wabak Covid-19.
Dengan penutupan itu juga, kata Muis tiada solat Jumaat akan diadakan, diikuti solat berjemaah untuk waktu-waktu lain.
Menurut kenyataan tersebut, penutupan masjid itu diambil sebagai langkah pencegahan berikutan dua warga Singapura yang dijangkiti Covid-19 selepas menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling, Kuala Lumpur pada akhir bulan lepas.
Dua hari lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meminta peserta yang menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur dari 27 Feb hingga 1 Mac lepas memberi kerjasama kepada agensi itu bagi memastikan jangkitan Covid-19 tidak merebak.
Ketua Pengarah KKM Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan berdasarkan maklumat awal, perhimpunan tabligh itu melibatkan kira-kira 10,000 orang dari beberapa negara termasuk kira-kira 5,000 peserta dari Malaysia.
KKM juga menggesa perhimpunan yang melibatkan orang ramai (mass gathering) ditangguhkan bagi mencegah jangkitan Covid-19.
Pemerintah Indonesia pula menyarankan kepada warganegaranya yang beragama Islam agar menunaikan ibadat di rumah bagi mengelakkan jangkitan.
Bagaimanapun, fatwa mengenai solat Jumaat ketika berlakunya penyebaran wabak berkenaan adalah berbeza-beza berdasarkan situasi semasa bagi setiap negara.
Sementara itu, mengulas kemungkinan ibadah Haji tahun kali ini akan ditangguhkan, Zulkifli berkata ia masih terlalu awal untuk diputuskan.
"Perkara ini kita kena lihat waktu yang hampir dengan masa ibadah tersebut. Maksud saya ketika mana hampir waktu haji.
"Sekarang kita ada dalam empat bulan lagi, jadi waktu itu nanti mungkin kita doa pada Allah SWT supaya wabak seperti ini sudah berlalu pergi. Insya-Allah.
"Sebolehnya tidak perlu ditanya sekiranya wabak ini terus ada. Kita tunggu dulu. Insya-Allah," katanya.
Penerbangan pertama jemaah haji tahun ini adalah pada 22 Jun depan.
Seramai 31,600 bakal jemaah dijangka berangkat ke tanah suci pada tahun ini.
Beberapa negara Islam baru-baru mengeluarkan garis panduan kepada umat Islam bagi membendung penyebaran wabak Covid-19.
Arab Saudi misalnya mengeluarkan larangan sementara kepada umat Islam daripada mengerjakan ibadah Umrah, manakala Iran menghentikan solat Jumaat buat sementara waktu.
Nota: Berita ini membawakan laporan yang masih dalam perkembangan. Pada laporan terkini Menteri Hal Ehwal Agama Zulkifli Mohamad telah memutuskan solat Jumaat di Wilayah Persekutuan diteruskan hari ini.