Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Covid-19: Sembilan kes baru, M'sia sekat warga Denmark

Sembilan kes baru Covid-19 dikesan di Malaysia, menjadikan jumlah kes meningkat menjadi 158 kes.

Pada masa sama, Malaysia menyekat kemasukan warganegara Denmark, ekoran langkah negara itu mengenakan perintah berkurung bagi menghalang penyebaran virus berkenaan.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Noor Hisham Abdullah berkata, kementeriannya mengesan hubungan semua kes baru dengan pesakit sedia ada.

“Daripada sembilan kes (baru), satu mempunyai hubungan dengan kes kluster pertama, kes 26 dan kes 33.

“Yang lain merupakan orang disyaki (PUI) dan mempunyai hubungan dengan kes 131 yang baru ini,” katanya kepada pemberita di Putrajaya petang tadi.

Kes 26 melibatkan pengarah eksekutif Khazanah dan pengerusi UDA Holdings, Hisham Hamdam. Sebanyak 44 kes dihubungkan kepada beliau yang kini dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Kes 33 melibatkan lelaki warganegara Malaysia barusia 58 tahun yang mempunyai kontak langsung dengan Kes 26 dan kini dirawat di hospital sama.

Kes 131 pula membabitkan lelaki warganegara Malaysia yang menghadiri ijtima tabligh antarabangsa di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur dari 28 Februari hingga 1 Mac lalu.

Pesakit ke-131 itu kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan, Pahang. Kes berkenaan sebelum ini dikasifikasikan sebagai kes sporadic (rambang).

Hisham mengesahkan Malaysia tidak lagi mempunyai kes sporadic setelah kementerian berjaya mengesan pesakit berkenaan.

Sementara itu beliau mendedahkan enam pesakit telah keluar daripada hospital setelah pulih daripada Covid-19. 

Secara keseluruhannya, sebanyak 32 pesakit telah pulih daripada virus itu di Malaysia.

Kes Covid-19 di enam negeri

Sebanyak 10,000 orang dikatakan menghadiri majlis tabligh di Masjid Sri Petaling, dan separuh daripadanya dikatakan sebagai rakyat Malaysia.

Kata Hisham, kementeriannya dalam usaha mengesan 5,000 rakyat tempatan yang menghadiri majlis itu dan menggesa mereka melaporkan diri kepada KKM.

“Mereka telah pulang ke negeri masing-masing, ada beberapa negeri yang dah laporkan (semula) kepada kami [...]

“Negeri-negeri yang terlibat adalah Sabah, Kuantan (Pahang), Johor Bharu (Johor), Perak, dan Kota Bharu (Kelantan),” katanya.

Kementerian Kesihatan Singapura hari ini mengumumkan dua lelaki warganegara republik itu disahkan positif Covid-19 setelah menghadiri majlis sama di masjid berkenaan. Semalam, seorang warganegara Brunei juga didedahkan positif virus berkenaan. 

Sekat perjalanan dari Denmark

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk tugas-tugas khas, Mohd Redzuan Yusof mengumumkan sekatan perjalanan dikenakan kepada warganegara Denmark dan perjalanan masuk dari negara berkenaan.

Sekatan berkuat kuasa 14 Mac itu bagi memberi ruang untuk kerajaan memaklumkan kepada kerajaan Denmark berhubung sekatan itu.

Beliau juga berkata, rakyat Malaysia, penduduk tetap dan pemegang pas jangka panjang yang tiba dari negara terbabit tidak akan dihalang memasuki negara ini, namun tetap perlu melalui proses kuarantin selama 14 hari.

“Rakyat Malaysia dinasihatkan mengangguhkan perjalanan yang tidak penting ke Denmark bagi mengurangkan risiko dijangkiti virus ini semasa di negara itu,” katanya.

Semalam, Malaysia mengenakan sekatan sama terhadap warganegara dan perjalanan masuk dari Itali, Iran, dan Korea Selatan.

Sementara itu, menteri itu juga berkata bahawa kabinet Perikatan Nasional akan membincangkan keperluan untuk menangguhkan acara-acara besar seperti Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020.

Redzuan bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa kerja kluster penyakit Covid-19, tengah hari tadi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS