Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Masjid di Singapura tutup 5 hari, tiada solat jemaah atau Jumaat
Diterbitkan:  Mar 12, 2020 10:07 PM
Dikemaskini: 2:43 PM

GLOBAL | Sebagai langkah berjaga-jaga dan mencegah penularan wabak Covid-19, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) hari ini berkata 70 masjid di republik itu akan ditutup selama lima hari mulai esok.

Dalam kenyataan dikeluarkan badan pengelola hal-ehwal Islam Singapura itu, penutupan masjid dibuat bagi membolehkan pihak yang berkenaan menjalankan kerja-kerja menyah kuman.

Dengan penutupan itu juga, kata Muis, tiada solat Jumaat akan diadakan esok, diikuti solat jemaah untuk waktu-waktu lain.

Menurut kenyataan tersebut, penutupan masjid itu diambil sebagai langkah pencegahan berikutan dua warga Singapura yang dijangkiti Covid-19 selepas menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling, Kuala Lumpur pada akhir bulan lepas.

“Seramai 90 orang warga Singapura telah menghadiri perhimpunan tersebut dan sering menjadi jemaah di beberapa masjid tempatan.

“Bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19, semua masjid akan ditutup sementara,” kata Muis yang dilaporkan The Straits Times Singapura hari ini.

Sementara itu, Menteri Kanan Hal Ehwal Islam Singapura, Masagos Zulkifli, berkata empat masjid telah dikenal pasti sebagai tempat yang sering dikunjugi oleh salah seorang pesakit Covid-19.

“Keputusan untuk menutup semua masjid di Singapura dibuat sebagai satu keperluan untuk melindungi masyarakat terutamanya jemaah yang tua kerana mereka berisiko tinggi untuk dijangkiti,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan pada hari ini. .

Tambah Muis lagi semua aktiviti masjid seperti kuliah dan kelas agama akan dibatalkan sehingga 27 Mac.

Selain itu, Jawatan kuasa Fatwa yang diketuai oleh Mufti Singapura, Nazirudin Mohd Nasir, berkata penutupan masjid dan pembatalan solat Jumaat telah dibenarkan sebagai keperluan kesihatan dan keselamatan awam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS