Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MB Perak angkat sumpah esok
Diterbitkan:  Mar 12, 2020 9:35 PM
Dikemaskini: 1:35 PM

Pergolakan politik di negeri Perak khususnya membabitkan pelantikan menteri besar ke-13 akan terjawab esok.

Setiausaha kerajaan negeri Perak, Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah memberi perkenan supaya istiadat pelantikan dan angkat sumpah menteri besar ke-13 dilangsungkan esok pada jam 3.00 petang.

Dalam kenyataan media hari ini, beliau berkata istiadat tersebut akan berlangsung di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Bagaimanapun kenyataan itu tidak menamakan siapa menteri besar Perak yang baru.

Terdahulu, Perikatan Nasional Perak mengemukakan tiga nama calon menteri besar Perak kepada Sultan Nazrin Shah petang tadi.

Bekas menteri besar Perak, Ahmad Faizal Azumu mengesahkan ketiga-tiga calon itu ialah dirinya sendiri selain Pengerusi Umno Perak, Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya PAS negeri Razman Zakaria.

Ketiga-tiga calon menteri besar berkenaan juga hadir ke Istana Kinta di Ipoh bagi memaklumkan perkembangan terkini mengenai situasi politik di Perak kepada Sultan Nazrin.

Ini kali kedua ketiga-tiga pemimpin berkenaan menghadap Sultan Nazrin selepas yang pertama pada Selasa setelah Perikatan Nasional Perak sepakat membentuk kerajaan negeri yang baru.

Selasa lalu, Sultan Nazrin memberi perkenan peletakan jawatan Ahmad Faizal sebagai menteri besar Perak.

Sehari sebelum itu, Ahmad Faizal mengumumkan Perikatan Nasional Perak terdiri daripada Umno, PAS dan Bersatu mendapat sokongan 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada keseluruhan 59 Adun bagi membentuk kerajaan baru di negeri itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS