Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kerajaan hari ini tetap akan dipertikaikan dari segi keabsahannya walaupun dilihat cuba meneruskan beberapa langkah reformasi, kata timbalan presiden Amanah, Salahuddin Ayub.

“Bagi saya, matlamat tidak boleh menghalalkan cara. Rakyat akan tetap melihat kerajaan pada hari ini dari segi keabsahan (legitimacy) masih dipertikaikan.

“Saya rasa biarlah rakyat berterusan jadi hakim,” kata anggota parlimen Pulai itu ketika dihubungi Malaysiakini.

Salahuddin berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau dapat menerima sekiranya agenda reformasi yang dibawa PH dahulu, direalisasikan di bawah pentadbiran perdana menteri, Muhyiddin Yassin.

Dalam mesyuarat kabinet pertamanya semalam, Muhyiddin mengumumkan semua anggota jemaah menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) wajib mengisytiharkan harta masing- masing dalam tempoh sebulan.

Muhyiddin sendiri menjadi anggota kabinet PN pertama menawarkan gajinya dipotong sebanyak lima hingga 10 peratus bagi mengurangkan beban kewangan kerajaan.

Berdasarkan pengumuman itu, sesetengah pihak melihat hala tuju pentadbiran Muhyiddin selari dengan agenda reformasi yang cuba dibawa PH ketika berkuasa selama 21 bulan lalu.

Bagaimanapun Salahuddin secara sinis meminta Muhyiddin berbincang dengan PAS dan Umno terlebih dahulu sebelum melaksanakan dasar berkenaan.

“Khususnya PAS, banyak ayat al-Quran, dalil-dalil yang mereka bacakan bahawa tidak perlu dan tidak wajib untuk isytihar harta.

“Adakah Muhyiddin dah bincang dengan PAS betul-betul? Nanti pecah kerajaan (pula), baru tiga hari (angkat sumpah),” katanya lagi.

'Ganjil dan hampir kepada kemunafikan'

Bagi pengarah komunikasi PKR, Fahmi Fadzil pula beliau melihat agenda reformasi dibawa Muhyiddin sebagai 'ganjil'.

“Itu akan menjadi satu keadaan yang oksimoron (penuh pertentangan). Keadaan yang agak mengelirukan. Idea manifesto lahir daripada perbincangan PH, kini mereka (Umno BN) yang kita tentang dan lawan pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 (menjadi kerajaan).

“Untuk mengharapkan mereka mengangkat agenda reformasi itu yang agak ganjil, hampir boleh disebut sebagai satu kemunafikan,” katanya kepada Malaysiakini.

Katanya, sewaktu pentadbiran BN, tidak banyak dilakukan untuk membawa isu 1MDB ke muka pengadilan, sehinggalah PH menjadi kerajaan. 

Kini katanya, Umno BN kembali menjadi kerajaan menerusi PN.

“Saya sehaluan dengan pandangan Dr Mahathir (Mohamad), bahawa kayu ukurnya adalah bagaimana pentadbiran (PN) memberi respons kepada kes-kes mahkamah yang sedang berjalan. Itu kayu ukurnya,” katanya lagi.

Anggota Parlimen Bukit Mertajam dari DAP, Steven Sim pula mengingatkan bahawa dalam pentadbiran lalu, semua anggota kabinet bermula dari perdana menteri sehinggalah anggota parlimen diwajibkan mengisytiharkan harta.

“Cuma saya berharap agar dia (PN) laksanakan sepenuhnya seperti PH, iaitu, pengisytiharan mesti secara terbuka dan diterbitkan atas talian untuk tatapan umum, serta perlu melibatkan semua ahli parlimen, bukan sahaja anggota pentadbiran kerajaan,” katanya kepada Malaysiakini.

Ketika pentadbiran PH Julai tahun lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul mewajibkan anggota parlimen mengisytiharkan harta masing-masing kepada speaker Dewan Rakyat.

Langkah itu turut melibatkan pasangan dan anak mereka berumur 21 tahun ke atas serta pemegang amanah.

Speaker seterusnya akan menyerahkan salinan pengisytiharan harta berkenaan kepada SPRM, sebelum disiarkan di portal suruhanjaya itu untuk makluman orang ramai.

'Dulu dianggap dasar komunis'

PAS dan Umno pada masa itu sepakat membantah pengisytiharan harta berkenaan.

Setakat Disember 2019, hanya 160 anggota parlimen menyerahkan pengisytiharan harta mereka kepada Dewan Rakyat.

Namun setelah pengumuman Muhyiddin semalam, PAS memberi jaminan bahawa menteri, timbalan menteri dan anggota parlimennya akan mengisytiharkan harta.

Mengulas mengenai sebahagian wakil rakyat yang berubah pendirian dalam pengisytiharan harta setelah menjadi kerajaan, Sim membidas sesetengah ahli PAS yang dahulu mendakwa dasar itu sebagai “dasar komunis” dan “dilarang agama”.

“Kini, sesudah menjadi menteri, tiba-tiba yang dikatakan ‘dasar komunis’ dibolehkan pula.

“[...] Jangan hanya menyokong dasar urus tadbir baik semata-mata kerana jawatan, sokonglah kerana prinsip,” katanya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS