ULASAN | Malaysia sebuah bumi bertuah yang didiami oleh masyarakat pelbagai kaum yang setiap daripadanya mempunyai jalan cerita salasilahnya tersendiri.
Namun penulisan ini tidak mahu menceritakan salasilah tersebut, hanya mahu mengajak masyarakat berfikir semula mengenai perkembangan politik Malaysia pada waktu ini yang diperangkap oleh sentimen perkauman membimbangkan.
Perkara yang harus disedari dan diterima oleh kesemua masyarakat Malaysia terutamanya masyarakat Melayu bahawa bumi bertuah Malaysia ini adalah milik semua masyarakat yang berwarganegara Malaysia, tanpa mengira bangsa dan agama - diikat dengan semangat Rukun Negara dan Perlembagaan Malaysia.
Saya melihat gelagat rakan-rakan dan kenalan di alam maya, begitu juga di alam nyata apabila sesekali bersua. Dan, saya terpanggil untuk berkongsi pandang mengenai perkara yang saya lihat, baca dan dengar.
Saya banyak dikelilingi oleh rakan-rakan berbangsa Melayu, namun ada juga rakan-rakan daripada bangsa Cina, India, Orang Asal dan lain-lain, itu pun setelah masuk ke sekolah menengah, universiti dan di tempat kerja.
Pengalaman saya semasa kecil sehinggalah sekarang, saya kerap mendengar bahawa bangsa kita Melayu jangan sampai ditindas oleh “bangsa asing” (merujuk kepada bangsa Cina), jangan sampai bumi dipijak milik orang dan banyak lagi kenyataan-kenyataan sedemikian.
Saya sering tertanya, mengapa sering kali naratif bangsa Melayu akan tertindas hanya dikaitkan dengan penindasan daripada bangsa Cina, jarang-jarang saya dengar Melayu akan ditindas oleh bangsa India atau lain-lain.
Jadi saya berfikir mungkin disebabkan bangsa Cina adalah kaum kedua terbesar di Malaysia. Berdasarkan anggaran semasa penduduk Malaysia 2019 daripada Jabatan Perangkaan, warganegara Malaysia adalah seramai 29.4 juta. Daripada jumlah tersebut, peratusan Melayu adalah 69.3 peratus, Cina 22.8 peratus, India 6.9 peratus dan lain-lain 1.0 peratus.
Ditambah pula wujud jurang pendapatan yang besar antara kaum Bumiputera dan kaum Cina. Pada tahun 1986, jurang pendapatan antara Bumiputera dan Cina adalah sebanyak RM497 sebulan dan telah meningkat kepada RM1,736 sebulan pada tahun 2016. Antara India dan Cina pula adalah sebanyak RM286 pada tahun 1986 kepada RM1,154 pada tahun 2016. Kemudian, semua pekerjaan sektor profesional kecuali doktor gigi dikuasai oleh bukan Bumiputera.
Mengapa jurang pendapatan ini semakin luas walaupun pelbagai dasar-dasar istimewa telah dilaksanakan dari 1970-an ke kini untuk membantu Melayu, manakala kaum-kaum lain tidak mendapat layanan sebegitu?
Adakah mungkin disebabkan ini naratif “Cina tindas Melayu” dan bukannya kaum lain sering didengari dan di mainkan untuk mengaburi kegagalan dasar-dasar tersebut? Jika gagal, apakah perubahan dasar yang harus dilakukan untuk mengurangkan jurang ini?
Bumiputera majoriti dalam T20
Saya menanyakan semula dalam diri saya, adakah salah sekiranya seseorang/sesuatu kaum lebih kaya daripada kaum yang lain? Mengapa perlu untuk kita merasa tidak selamat dengan kelebihan orang lain?
Namun sedarilah satu perkara juga bahawa kaum Bumiputera adalah kumpulan majoriti dalam kategori T20, iaitu kumpulan yang berpendapatan paling tinggi di Malaysia. Sebanyak 53.8 peratus dalam kategori T20 adalah Bumiputera, dengan median pendapatan isi rumah melebihi RM11,000 sebulan.
Maksudnya, lebih ramai Bumiputera yang hebat dan kaya daripada kaum lain, tetapi kenapa naratif “Cina tindas Melayu” masih dilaung-laungkan?
Kita juga boleh menjadi hebat dan bertambah hebat sekiranya kita berusaha ke arah itu. Kita seharusnya ditanamkan dengan naratif yang lebih bermakna, iaitu semua bangsa saling memerlukan dan perlu bekerjasama untuk bina Malaysia yang hebat.
Daripada pemerhatian saya, mereka yang sering melaungkan naratif ini adalah daripada orang-orang politik dan orang yang empati terhadap politik perkauman. Pemimpin politik terus memainkan sentimen ini yang akhirnya turut diikuti oleh masyarakat.
Pada masa yang sama, parti politik yang melaung-laungkan naratif kononnya Melayu ditindas Cina jugalah menerima jutaan wang derma politik daripada Cina, seperti yang didedahkan dalam kes mahkamah melibatkan pemimpin politik yang menerima cek berjumlah RM2 juta daripada seorang penderma Cina.
Pemimpin politik yang percaya kepada taktik pecah dan perintah, yang digunakan oleh penjajah British. Apabila berada dalam satu kumpulan, dicanangkan naratif perkauman yang sempit untuk menakut-nakutkan masyarakat dan akhirnya, masyarakat merasakan terancam kepada kaum yang lain.
Maka di sini saya tertanya-tanya apakah bentuk etnosentrism yang Malaysia akan bentuk pada generasi masa hadapan? Adakah naratif yang berpecah-pecah ini akan saya dengar lagi sehingga saya habiskan sisa-sisa hidup saya di bumi bertuah Malaysia ini?
Etnosentrisme boleh difahami sebagai kecenderungan sebuah etnik atau kaum terhadap kelebihan yang ada oleh suku kaumnya. Mereka melihat kebudayaan mereka adalah yang tertinggi. Kuasa dan nilai yang ada di dalam budaya kaumnya dianggap sebagai bahtera kebijaksanaan, keindahan dan kesucian manakala di sekelilinginya adalah kafir dan gasar.
Selain itu, etnosentrisme juga boleh didefinisikan sebagai anjakan kepada perjuangan yang mampu memupuk semangat cinta kepada tanah air, menggalakkan perpaduan rakyat yang dipacu dengan ikatan keturunan dan kebudayaan, dan menyemai semangat menentang pencerobohan kuasa asing.
Walaupun Malaysia telah mencapai tahun 2020, masalah perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia dilihat membimbangkan pada satu-satu masa, terutamanya musim pilihan raya.
Bertambah malang, isu perkauman itu terus dimainkan setiap masa untuk memastikan sokongan politik terus diberikan kepada satu-satu parti politik. Pemimpin politik yang suatu masa adalah pemimpin kerajaan kadang gemar memainkan isu perkauman untuk meraih sokongan politik di sesuatu kawasan atau sesuatu kelompok.
Hal ini dilihat sebagai cabaran untuk membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Justeru itu, saya melontarkan semula pertanyaan ini, apakah bentuk etnosentrism yang sebenarnya mahu dibentuk di Malaysia?
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.