Paling Popular
Terkini

Umno hari ini mengemukakan enam tuntutan yang perlu diambil tindakan segera oleh kabinet Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, termasuk mengkaji semula siasatan dan pendakwaan kes penyelewengan yang dihentikan pada zaman Pakatan Harapan (PH).

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia penting bagi memenuhi aspirasi rakyat dan memelihara kepentingan agama dan negara

Selain itu, Umno juga menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat segala dakwaan salah laku dan penyelewengan Pakatan Harapan (PH) terhadap kerajaan BN serta pengurusan Tabung Haji (TH) terdahulu.

"Menilai semula semua keputusan penjualan secara lambak aset-aset strategik negara dan agensi-agensi berkepentingan rakyat termasuklah TH, Khazanah Nasional, LTAT dan semua syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Demi prinsip 'rule of law' yang sebenar, Umno mendesak kes-kes penyelewengan yang dihentikan perbicaraan oleh kerajaan PH, dibuka semula, ini termasuklah kes skandal rasuah terowong dasar laut dan tiga lebuh raya melibatkan pemimpin DAP bernilai RM6.3 bilion.

"Menyegerakan siasatan dan pendakwaan terhadap mereka yang dikaitkan dengan kes pembunuhan menyayat hati melibatkan anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat MT Umno di ibu pejabat parti itu, di Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini, sewaktu era pentadbiran PH, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki mendesak supaya RCI bagi menyiasat penyelewengan TH yang dilakukan pada era BN.

Bagaimanapun kerajaan PH menyifatkan tiada keperluan untuk menubuhkan RCI kerana usaha memulihkan TH sedang dilaksanakan kerajaan ketika itu.

Umno juga sebelum ini turut membantah penjualan aset-aset startegik kerajaan oleh PH yang bertujuan bagi mengurangkan beban hutang negara.

Malah kerajaan PH ketika itu juga turut menghentikan pendakwaan terhadap Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berhubung kes rasuah.

Selain itu, Zahid juga menggesa kerajaan PN supaya membatalkan agenda kerajaan PH sebelum ini untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC).

Umno juga mahu pemberhentian kaitangan awam berstatus kontrak, dasar pengurangan kakitangan awam dan mengkaji semula dasar yang memastikan kebajikan penjawat awam terbela.

Zahid juga memberi penegasan bahawa Umno akan terus komited mempertahankan kerajaan baru pimpinan Muhyiddin selama mana aspirasi rakyat terpelihara.

"Umno juga akan meneruskan agenda utama memperkasakan Muafakat Nasional dengan rakan-rakan PAS dan juga memperkukuhkan BN bersama rakan-rakan komponenn MCA, MIC dan PBRS," katanya.

Katanya, kerajaan baru ini harus beri kemakmuran kepada semua rakyat dan perlu segera menangani kelembapan ekonomi kesan wabak Covid-19.

Dalam pada itu kata Zahid mesyuarat MT Umno, hari ini membuat penstrukturan semula parti membabitkan pelantikan Ahmad Maslan sebagai Setiausaha Agung Umno yang baru.

Ahmad akan menggantikan Annuar Musa yang kini dilantik sebagai menteri wilayah.

Umno juga mengumumkan pelantikan Naib Ketua Pemuda Umno Shahril Suffia Hamdan sebagai ketua penerangan parti itu menggantikan Shamsul Anuar Nasarah.

MT Umno juga hari ini turut mengumumkan pelantikan Mohd Rais Mohd Yasin sebagai anggota MT yang baru.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS