Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PN kemuka 3 nama calon MB Perak
Diterbitkan:  Mar 12, 2020 5:41 PM
Dikemaskini: 9:41 AM

Perikatan Nasional (PN) Perak telah mengemukakan tiga nama calon menteri besar Perak kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah petang ini.

Bekas menteri besar Perak, Ahmad Faizal Azumu mengesahkan bahawa ketiga-tiga calon itu ialah dirinya sendiri selain Pengerusi Umno Perak, Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya PAS negeri Razman Zakaria.

"Kami telah menyembahkan warkah kepada Tuanku untuk pemilihan seorang menteri besar baru di Perak

"Kami bertiga menasihati semua rakyat agar bersabar, bertenang sambil menantikan pengumuman dibuat oleh tuanku berkenaan menteri besar ke-13," kata Faizal kepada media selepas mengadap Sultan Nazrin di Istana Kinta, Ipoh tengah hari tadi.

Saarani (Adun Kota Tampan) dan Razman (Adun Gunung Semanggol) turut hadir.

Para pemimpin PN negeri bertemu dengan Sultan Nazrin pada pukul 3 petang hari ini.

Sementara itu, China Press melaporkan bahawa Sultan Nazrin memanggil tujuh exco Pakatan Harapan pada pukul 5 petang hari ini.

Antara mereka adalah Asiat Awi (Amanah-Manjoi), Nizar Jamaluddin (Amanah-Sungai Rapat), Abdul Aziz Bari (DAP-Tebing Tinggi), A Sivanesan (DAP-Sungkai), Wong May Ing (DAP-Pantai Remis) Lee Chuan How (DAP-Pasir Pinji) dan Tan Kar Hing (PKR-Simpang Pulai).

Bagaimanapun, tiga lagi exco yang sudah meninggalkan PH iaitu Yong Choo Kiong (Tronoh), Abdul Yunus Jamahri (Kuala Kurau), Hasnul Zulkarnain Munaim (Titi Serong) tidak dipanggil oleh Sultan Nazrin.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN.

Sebelum ini, PH menguasai 30 kerusi yang terdiri daripada kerusi DAP (18), kerusi Amanah (6), kerusi PKR (4) dan kerusi Bersatu (2).

Sementara itu, Umno mempunyai 25 kerusi, PAS 3 kerusi dan seorang lagi Adun bebas.

Susulan perubahan kerajaan pusat, PN kini menguasai 35 kerusi iaitu 25 kerusi Umno, 3 kerusi PAS, 4 kerusi Bersatu, dan 3 kerusi bebas (bekas DAP dan Amanah).

PH kini hanya mempunyai 24 kerusi sahaja.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS