Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Covid-19: P Pinang tangguh bayaran tunai untuk warga emas

Pembayaran insentif secara tunai bagi program Penghargaan Warga Emas Fasa 1, 2020 oleh kerajaan Pulau Pinang yang dijadualkan bermula 14 Mac ini ditangguhkan, sebagai langkah berjaga-jaga mengelak jangkitan Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh berkata penangguhan itu melibatkan tiga daerah iaitu Timur Laut, Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Utara (SPU).

"Bagi daerah SPU iaitu di Kawasan Dewan Undangan Negeri (Kadun) Permatang Berangan dan Sungai Dua, penerima sepatutnya dijadual menerima insentif tersebut masing-masing pada 14 hingga 15 Mac dan 21 hingga 23 Mac ini, manakala daerah SPT di Kadun Berapit dan Timur Laut di Kadun Datuk Keramat masing-masing pada 21 hingga 22 Mac ini.

"Penangguhan ini hanya untuk penerima tunai sahaja. Penangguhan ini adalah untuk mengelakkan orang ramai daripada berkumpul di pejabat Kadun untuk tempoh yang lama sebagai langkah mengurangkan risiko jangkitan,” katanya pada sidang akhbar, di George Town hari ini.

Berikutan itu, beliau menasihatkan seramai 157,335 penerima tunai daripada jumlah keseluruhan 191,858 orang, untuk mendaftar EFT (pindahan dana elektronik) di bank terdekat sebelum mendapatkan borang ‘I-Sejahtera Secara EFT’ di pusat Kadun dan Pejabat Tanah dan Daerah masing-masing bagi proses permohonan berkenaan.

Phee berkata sehingga kini kerajaan negeri telah melakukan pembayaran insentif kepada 34,523 penerima secara EFT pada 17 Feb lepas.

"Penerima tunai boleh mendapatkan borang EFT tersebut bagi membolehkan pembayaran dilakukan dalam tahun semasa, malah pegawai penyelaras Kadun juga akan mengenal pasti maklumat pemohon bagi memudahkan proses permohonan selain menghantar mesej melalui khidmat pesanan ringkas kepada penerima sebagai notifikasi makluman bayaran," katanya.

Program Penghargaan Warga Emas adalah inisiatif kebajikan kerajaan negeri bagi membantu golongan warga emas yang layak dengan memberi sumbangan wang RM150 setahun sekali.

Dalam perkembangan berkaitan, Phee berkata kerajaan negeri turut membatalkan beberapa program rasmi di negeri ini berikutan penularan virus Covid-19.

"Bagi majlis yang dihadiri lebih 100 orang pula, penganjur perlu membuat kajian keselamatan yang dilihat sebagai sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) kami bagi mencegah sebarang risiko jangkitan," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS