Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Gugur kes LTTE: Tindakan tegas akan diambil jika perlu - Hamzah
Diterbitkan:  Mar 12, 2020 4:36 PM
Dikemaskini: 8:39 AM

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin akan berbincang mengenai pengguguran pertuduhan terhadap 12 rakyat Malaysia yang didakwa terbabit dengan kumpulan militan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Katanya, perbincangan akan diadakan dengan pegawai tertinggi kementeriannya dan pihak polis, serta tindakan tegas akan diambil jika perlu berlandaskan undang-undang dan perlembagaan negara.

"Keganasan bukan saja masalah dalam negara kita, ia juga masalah seluruh dunia. Ia perlu seiring dengan segala apa maklumat yang kita dapat.

"Kalau kita perlu ambil tindakan yang sewajarnya saya akan ambil tindakan tegas dan ia akan mengikut undang-undang dan perlembagaan negara," katanya seperti dipetik BH Online.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kementeriannya akan membuka semula siasatan terhadap 12 individu yang turut membabitkan dua Adun DAP itu.

Pada 21 Februari, bekas peguam negara Tommy Thomas melaksanakan kuasa budi bicaranya memberhentikan prosiding terhadap 12 individu dalam perbicaraan berkaitan LTTE di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Keputusannya diambil memandangkan beliau berpendapat tiada prospek yang jelas untuk sabitan ke atas mana-mana 34 pertuduhan terhadap mana-mana 12 tertuduh. Kesemua 12 individu berkenaan kemudian dibebaskan.

12 individu berkenaan ditahan pada Oktober tahun lalu dan tidak dibenarkan ikat jamin.

Bagaimanapun, perlu diingat, berdasarkan Seksyen 302 (1) Kanun Tatacara Jenayah, orang yang pernah disabitkan atau dibebaskan tidak boleh dibicara atas kesalahan yang sama.

Orang tersebut juga turut tidak boleh dibicarakan bagi mana-mana kesalahan lain atas fakta yang sama.

Dalam kenyataan media sepanjang 11 muka surat, Thomas berkata dengan bukti yang dimiliki oleh 12 individu itu seperti gambar pemipin LTTE Velupillai Prabhakaran di telefon atau akaun Facebook mereka, kesalahan berkenaan akan sukar dibuktikan oleh pihak pendakwaan.

Thomas turut meminta Kementerian Dalam Negeri untuk menyemak semula senarai kumpulan pengganas yang digazetkan.

Bagaimanapun, menteri dalam negeri ketika itu Muhyiddin Yassin berkata, beliau mempunyai asas kukuh untuk mengekalkan LTTE sebagai kumpulan pengganas kerana katanya, ia masih mempunyai ideologi yang boleh menimbulkan ancaman terhadap ketenteraman awam dan keselamatan negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS