Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib bergurau gelar Rosmah 'pengumpul barang' dalam dokumentari Netflix
Diterbitkan:  Mar 12, 2020 3:16 PM
Dikemaskini: 7:16 AM

Musim terbaru siri dokumentari Dirty Money di Netflix membawa penonton melihat kehidupan peribadi bekas perdana menteri Najib Razak, dan apakah pandangannya terhadap kontroversi 1MDB.

Sebahagian besar dokumentari itu diceritakan oleh Najib sendiri dalam satu temu bual dengan penerbit dokumentari itu di kediamannya.

Dalam temu bual yang disusun berselang-seli dengan babak latihan gimnasium dengan jurulatih peribadinya serta pemandangan dalam rumah agamnya, Najib menjawab tuduhan kehidupan mewah yang dijalani bersama isterinya, Rosmah Mansor.

“Saya rasa tentang gaya hidup itu boleh dijelaskan,” kata Najib.

Menegaskan beliau menjalani gaya hidup yang “ringkas”, Najib mengakui bagi Rosmah pula, lain ceritanya.

“Maksud saya, macam kebanyakan perempuan lain juga, isteri saya suka membeli belah. Tapi … uh … selepas beberapa ketika, kamu kumpul banyak barang.

“Sesetengah tempat yang dia kunjungi untuk beli-belah, kamu tahu dia ada pergi juga ke butik. Kamu tahu?

“Saya ada kompelin. Janganlah simpan barang-barang tu. Kamu dah jadi pengumpul barang, simpan barang lama-lama. Buanglah. Kamu tahu?”

Barangan Rosmah adalah hadiah

Dokumentari itu membayangkan bahawa Rosmah suka akan barangan mewah dan barang kemas, yang menurut Najib, semuanya merupakan hadiah.

“Kami ada kawan-kawan. Kawan-kawan ada bagi hadiah. Dan bukannya menyalahi undang-undang Malaysia untuk menerima hadiah.

“Setiap ketua kerajaan menerima hadiah, terutama daripada Timur Tengah. Presiden kamu pun terima hadiah dari Timur Tengah. Semuanya ada direkodkan.

“Cerita tentang gaya hidup saya dilebih-lebihkan dengan melampau. Saya ringkas saja orangnya. Saya suka gaya hidup ringkas,” katanya.

Mengenai serbuan polis yang merampas banyak barangan berharga yang dikaitkan dengan keluarganya pada 2018 pula, Najib mengulas hanya mengenai wang tunai.

Katanya, wang tunai itu merupakan caranya meneruskan tradisi seorang ketua parti politik.

“Ada satu akaun CSR (tanggungjawab sosial korporat) di bawah nama saya. Nampak? Derma yang diberikan atas perintah Raja Abdullah, adalah khas untuk saya sebagai ketua (perdana menteri) Malaysia, untuk urusan kebajikan dan tujuan politik,” katanya lagi.

Di satu tahap dalam dokumentari itu, Najib meluahkan kekesalannya melibatkan Jho Low dalam urusan 1MDB, dan mendakwa ia sebagai salah satu daripada kesilapan yang jarang-jarang dilakukannya.

“Kamu harus bertanggungjawab untuk perkara yang kamu lakukan, tetapi kamu tak boleh hanya salahkan orang di atas semua perkara yang tak betul.

“Saya tak rasa itu sesuatu yang adil,” kata Najib. 

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS