Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Veteran Umno pula tak puas hati komposisi kabinet PN
Diterbitkan:  Mar 12, 2020 2:16 PM
Dikemaskini: 7:36 AM

Lagi pemimpin Umno yang tidak berpuas hati dengan lantikan jawatan kabinet kerajaan baru Perikatan Nasional (PN) yang diterajui oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Kali ini, veteran Umno, Shahrir Samad tampil dengan mendakwa semangat en bloc PN hilang dalam barisan jemaah menteri itu selepas Muhyiddin diumumkan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai perdana menteri kelapan.

“Keputusan dan tindakan secara en bloc oleh BN bersama PAS berjaya dilaksanakan sehingga perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk Muhyiddin menjadi perdana menteri.

“Tetapi apabila tiba kepada peringkat perlantikan anggota jemaah menteri, seolah-olah sudah kehilangan pula semangat en bloc itu,” kata veteran Umno otu dalam satu hantaran di Facebook.

Tindakan itu, katanya seolah-olah menunjukkan kerajaan baru PN bukannya dipimpin oleh Umno / BN dan Muafakat Nasional, tetapi diketuai oleh Bersatu dengan geng Azmin Ali dari PKR.

Antara lain, Shahrir mempersoalkan mengapa pemimpin Sabah ditinggalkan oleh Muhyiddin daripada menyertai senarai kabinet berkenaan.

“Kalau (Ketua Umno Sabah) YB Bung (Moktar Radin) tidak boleh dilantik oleh kerana sedang menghadapi perbicaraan di mahkamah, YB Datuk Mohamed (Alamin) yang baru menang di PRK Kimanis layak untuk jadi seorang timbalan menteri,” katanya.

Malah kata Sharir, sesuatu yang menjolok mata adalah apabila lima daripada enam ahli parlimen yang mengisytiharkan sokongan terbuka terhadap kepimpinan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad telah dilantik menganggotai kerajaan baru Muhyiddin.

“Mereka yang enam kesemuanya itu telah bertindak tanpa merujuk kepada parti.

“Pengisytiharaan sokongan mereka dilakukan di sidang media di parlimen dan sebelum PRK Tanjung Piai. Sehinggakan mereka berenam dilarang untuk berkempen.

“Bukan sahaja keanggotaan jemaah menteri dari kalangan ahli-ahli parlimen Umno ini tidak mencerminkan semangat en bloc yang terbina di atas kemenangan PRK Tanjung Piai dan semangat perpaduan Perhimpunan Agong Umno selepas PRK itu.

“Tapi juga portfolio yang dipegang mereka macam tidak dirundingkan dan seolah terserah sahaja kepada budi-bicara PM yang naik di atas sokongan BN dan PAS,” katanya.

Walau bagaimanapun, kata Shahrir walau apa pun keresahannya, kerajaan baru ini pun “baru sangat lagi.”

“Lebih baik, tunggu dan lihat dulu. Kerajaan baru ini kerajaan Muhyiddin,” katanya.

Sebelum ini beberapa pemimpin Umno turut menyuarakan rasa tidak puas hati dengan komposisi kabinet PN itu.

Ahli parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Noor menyifatkan kerajaan PN mengketepikan kepentingan Orang Asli apabila gagal melantik sebarang wakil masyarakat itu.

Katanya, masyarakat Orang Asli bukan sahaja kumpulan yang paling miskin dan mundur di negara ini, tetapi kini suara politik mereka yang julung kali “hadir di pesada politik negara terus dikuburkan.”

Bagi rekod, Ramli adalah ahli parlimen Orang Asli pertama yang memenangi pilihan raya kecil Cameron Highlands tahun lalu di bawah tiket BN.

Turut meluahkan rasa tidak puas hati adalah bekas menteri Umno, Azalina Othman Said.

Katanya, gabungan kerajaan harus berdasarkan perwakilan yang seimbang dan bukannya didominasi oleh satu parti.

Baginya, Umno sepatutnya layak diberikan kementerian yang lebih significant seperti Kementerian Wanita, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Bandar, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Secara sinis, Azalina mengakhiri ciapannya dengan berkata "Kesimpulannya... pendapat saya, # PM8 adalah ahli politik yang paling bijak di kalangan pemimpin Melayu pada 2020," dan meletakkan tanda pagar #KingmakerPN2020 yang dipercayai memperli Muhyiddin.

Dr Mahathir Mohamad dalam wawancaranya bersama Sinar Harian menyifatkan kerajaan PN sebagai pentadbiran yang hampir kepada kerajaan Melayu yang tidak akan disokong oleh masyarakat berbilang kaum di negara ini, khususnya, Cina dan India.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS