Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Covid-19: KKM gesa tangguh program libatkan orang ramai
Diterbitkan:  Mar 12, 2020 2:16 PM
Dikemaskini: 6:24 AM

Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah menggesa perhimpunan yang melibatkan orang ramai (mass gathering) ditangguhkan bagi mencegah  jangkitan Covid-19.

Dalam satu kenyataan, Noor Hisham juga menggesa mereka yang mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan agar tidak menghadiri program melibatkan orang ramai atau tempat yang padat termasuk aktiviti keagamaan.

"Individu yang bergejala dinasihatkan menjarakkan diri (social distancing) sekurang-kurangnya satu meter bila berhadapan dengan individu lain," katanya.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan mengesahkan seorang lelaki yang menghadiri perhimpunan tabligh di masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur disahkan positif Covid-19 di Kuantan.

Acara itu, yang diadakan pada 28 Feb hingga 1 Mac, turut dihadiri seorang warga Brunei berusia 53 tahun yang kemudiannya disahkan positif Covid-19 selepas pulang ke negaranya.

Pagi ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zulkifli Mohamad menyarankan perhimpunan keagamaan di kawasan berisiko dengan jangkitan Covid-19 ditangguhkan.

Beliau bagaimanapun berkata tiada keperluan untuk tidak mengadakan solat Jumaat buat masa ini, namun khutbah perlu dipendekkan susulan penularan wabak berkenaan.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai untuk tidak melancong keluar negara terutamanya negara-negara yang sedang mengalami wabak jangkitan Covid-19.

Noor Hisham  juga menasihatakan rakyat Malaysia yang bergejala jangkitan saluran pernafasan tidak melawat kawasan-kawasan lain di Malaysia semasa cuti sekolah.

"Amalkan langkah-langkah pencegahan dan jaga kebersihan diri," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS