Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saifuddin janji terus pertahan kebebasan bersuara

Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baru dilantik, Saifuddin Abdullah berjanji untuk mempertahankan kebebasan bersuara.

"Kita perlu mempunyai keseimbangan ini.

"Kebebasan media mesti dipertahankan tetapi anda tidak boleh berkompromi dengan berita palsu .. [..] .. tetapi saya boleh memberi jaminan bahawa saya akan terus mempertahankan kebebasan bersuara dan kebebasan berorganisasi.

"Itu boleh anda harapkan dari saya tanpa mengira parti politik yang saya sertai," katanya kepada media di Putrajaya hari ini.

Saifuddin juga menegaskan bahawa dia masih orang yang sama, walaupun berada dalam kementerian baru.

"Saya Saifuddin yang sama yang akan menegakkan kebebasan, demokrasi, hak asasi manusia, dan kedaulatan undang-undang," katanya.

Terdahulu, Saifuddin ditanya sama ada beliau akan membangkitkan semula undang-undang antiberita palsu, yang kemudian dijawab oleh bekas ahli parlimen PKR itu dengan berkata bahawa ia adalah sesuatu akan beliau teliti.

"Saya faham bahawa sebelum ini ada (undang-undang) antiberita palsu sebelum dimansuhkan.

"Tidak adil jika saya membuat apa-apa pengumuman khusus mengenai bagaimana kita berurusan dengan perkara ini kerana ini melibatkan kementerian lain juga.

"Tetapi perkara ini pasti akan menjadi sesuatu yang saya akan teliti," katanya.

Tahun lepas, kerajaan PH ketika itu memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar.

Pada 2018, Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang untuk memansuhkan akta itu tetapi ia terhenti selepas Dewan Negara menolaknya.

Rang undang-undang itu dibentangkan semula pada Oktober tahun lepas dan diluluskan oleh senat pada Disember.

Saifuddin, dalam ucapan ringkasnya kepada media semasa sidang media di Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan berkata beliau akan meneruskan dasar dan program yang telah berkuat kuasa untuk memastikan perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat.

"Sementara itu, beberapa perubahan dan pendekatan baru akan diperkenalkan," katanya.

Mengenai pengenalan Akta Kebebasan Maklumat, Saifuddin menjelaskan bahawa ia berada dalam perancangan.

"Saya fikir kebebasan akta maklumat adalah agenda yang akan kita ketengahkan," katanya.

Ketika memerintah kerajaan, PH dilihat komited untuk melaksanakan akta itu sejajar dengan manifesto gabungan berkenaan.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar sebelum ini berkata bahawa undang-undang berkaitan akta itu akan dirumuskan secara berperingkat.

Mengenai sama ada kementerian ingin meneruskan usaha kerajaan sebelum ini untuk menubuhkan sebuah lembaga media, Saifuddin berkata beliau akan mengkaji perkembangan kerja yang berkaitan dan mendapatkan gambaran ringkas daripada pelbagai pihak berkepentingan sebelum membuat keputusan mengenai langkah seterusnya.

Saifuddin, yang sebelum ini merupakan Menteri Luar Negeri di bawah kerajaan PH, menjelaskan bahawa beliau juga akan mengetengahkan agenda kesaksamaan gender dalam kementerian seperti yang dilakukannya dalam kementerian sebelumnya.

"Belanjawan yang mengambil kira gender akan menjadi sebahagian daripada persiapan belanjawan kami untuk tahun depan, tentu saja kesaksamaan jantina akan menyusul.

"Kita patut meraikan ulang tahun ke-25 persidangan dunia keempat mengenai wanita.

"Kesaksamaan gender haruslah dalam agenda kita dan belanjawan responsif gender akan diamalkan ketika kita menyediakan belanjawan 2021.

"Saya akan mengumumkannya kemudian," katanya.

Sementara itu, Malaysia dijangka melancarkan teknologi 5G pada suku ketiga tahun 2020.

"Ia akan diteruskan, tetapi memandangkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah menyebutkan semalam bahawa mereka cuba mengkaji beberapa penambahan, walaupun kita mahu melancarkannya secepat mungkin, kita akan berbincang dengan Kementerian Kewangan.

"Sekiranya kita (Kementerian Komunikasi dan Multimedia) bukan sebahagian daripada pakej rangsangan baru yang dikaji semula, kita akan segera melancarkannya," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS