Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob memberi komitmen untuk meneruskan Kertas Putih Pertahanan yang diluluskan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
Beliau berkata, ia akan menjadi panduan dalam mengurus tadbir Kementerian Pertahanan ke arah memperkukuhkan lagi pertahanan negara.
"Kerajaan ini akan kekal komited dalam memastikan pertahanan negara terus diperkukuh dan diperkasakan untuk tempoh sepuluh tahun akan datang seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan.
"Kertas Putih Pertahanan yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 2 Disember 2019 akan menjadi panduan utama MINDEF dalam membuat perancangan dan pelaksanaan jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas majlis sambutan dan mula tugas menteri pertahanan di Kuala Lumpur, hari ini.
Ismail tiba di Kementerian Pertahanan kira-kira jam 9.30 pagi diberi sambutan penuh istiadat ketenteraan.
Turut serta timbalannya Ikmal Hisham Abdul Aziz.
Pada 2 Disember tahun lalu, Mohamad Sabu yang ketika itu menteri pertahanan membentangkan kertas putih di Dewan Rakyat bertajuk “Malaysia yang Selamat, Berdaulat dan Makmur”.
Kertas putih menggariskan peranan utama dan sekunder Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Ia membabitkan lapan mesej utama itu dibentangkan bagi memperbaharui Dasar Pertahanan Negara (DPN), agar strategi dan keupayaannya seiring dan relevan dengan perubahan persekitaran keselamatan global.
Kertas putih akan menjadi hala tuju strategik pertahanan negara untuk tempoh 2020 hingga 2030.
Ismail yang juga naib presiden Umno dilantik sebagai menteri pertahanan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Dalam pada itu, Ismail berkata ia adalah bukti bahawa kerajaan yang baru terbentuk ini adalah matang dan sentiasa mengamalkan demokrasi.
Katanya, pertahanan negara adalah satu agenda yang tidak boleh dikompromi dan setiap dasar yang telah dipersetujui di Parlimen akan dilaksanakan sebaik mungkin oleh kerajaan.
"Di samping itu, Mindef akan terus memberi perhatian kepada kebajikan anggota dan veteran angkatan tentera, serta warga awam yang bertugas di Kementerian Pertahanan.
"Kebajikan merupakan salah satu elemen penting dalam tahap kesiagaan yang tidak boleh diambil remeh dan perlu diberi keutamaan sewajarnya oleh kerajaan," katanya.
Sementara itu, Ismail menyampaikan penghargaan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memberi kepercayaan melantikanya sebagai menteri pertahanan.