PAS bersetuju agar menteri, timbalan menteri dan anggota parlimen parti itu membuat pengisytiharan harta dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tiada halangan untuk penjawat awam, termasuk menteri dan timbalan menteri untuk berbuat demikian.
"Sekarang kita kerajaan, dan kita akan isytihar. Ini jaminan saya, seluruh anggota parlimen PAS akan isytihar (harta)," katanya dalam sidang media di Kementerian Alam Sekitar di Putrajaya, hari ini.
Hari ini Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memberikan tempoh sebulan untuk semua menteri dan timbalan menteri membuat pengisytiharan harta dengan SPRM.
Ketika pentadbiran PH, Dewan Rakyat meluluskan usul mewajibkan anggota parlimen mengisytiharkan harta masing-masing.
Pengisytiharan perlu dibuat kepada speaker Dewan Rakyat. Selain anggota parlimen, pasangan, anak mereka berumur 21 tahun ke atas serta pemegang amanah juga perlu berbuat demikian.
Perkara itu dibantah PAS dan Umno. Presidennya Abdul Hadi Awang menyifatkan ia hanyalah manifesto PH dan bukan tuntutan undang-undang.
Hari ini Tuan Ibrahim yang baru dilantik sebagai menteri alam sekitar menjelaskan PAS enggan mengisytiharkan harta mereka ketika itu kerana mereka hanya pembangkang dan tidak memegang kuasa.
"(Tambahan pula) macam mana kita nak isteri dan anak-anak anggota parlimen isytihar harta? Apa hak parlimen, mereka bukan anggota parlimen," katanya lagi.
Setakat Disember 2019, hanya 160 anggota parlimen menyerahkan pengisytiharan harta mereka kepada Dewan Rakyat.
Sementara itu, Tuan Ibrahim juga berkata PAS tiada masalah jika mendapat jumlah jawatan kabinet yang lebih kecil berbanding parti lain dalam Perikatan Nasional.
"Kita bekerja bersama-sama dalam Perikatan Nasional.
"Bagi kami, sama ada diberi kedudukan kecil atau besar, yang penting kita bersama-sama parti komponen membentuk sebuah kerajaan yang dapat diharapkan oleh rakyat," katanya lagi.
Seramai tiga anggota parlimen PAS dilantik sebagai menteri, dan lima lagi sebagai timbalan menteri. Selain Tuan Ibrahim, dua lagi menteri ialah Takiyuddin Hassan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) dan Khairuddin Aman Razali (Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi).