Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis jelaskan proses tapisan calon menteri, timbalan

Ketiadaan beberapa nama besar dalam barisan jemaah menteri Muhyiddin Yassin sedikit sebanyak mungkin dapat dijawab dengan penjelasan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini.

Ditemui media di Pasir Mas, Kelantan hari ini, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, menjelaskan proses tapisan yang dilakukan ke atas calon jemaah menteri yang diberikan kerajaan.

Katanya, penglibatan dengan aktiviti berkaitan keganasan adalah satu daripada aspek yang diteliti PDRM.

Menurut Abdul Hamid, semakan itu dibuat oleh Cawangan Khas dan pandangan bahagian itu diambil kira oleh pihak berkuasa.

"(Tapisan) ini juga termasuk (semakan) pembabitan mereka dalam kes-kes keganasan (juga diambil kira).

"Tapisan dibuat oleh pihak Cawangan Khas. Sekiranya ada, rekod negatif akan timbul," katanya kepada media selepas majlis penganugerahan Pingat Jasa Negara di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, Kelantan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai proses tapisan oleh PDRM bagi pemilihan menteri dan timbalan menteri oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Semua rekod ada

Pada 9 Mac lalu, Muhyiddin mengumumkan barisan anggota jemaah menteri dan timbalan melibatkan wakil rakyat dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Terdahulu, anggota parlimen Pagoh itu dikatakan membuat pemilihan barisan baru menteri dalam kalangan mereka yang melepasi tapisan PDRM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, tapisan dibuat PDRM mengambil kira sudut rekod jenayah.

"Jadi nama sesiapa saja yang dikehendaki melalui proses tapisan ini, rekod mereka akan disemak sekiranya mereka sedang didakwa, atau disabit kesalahan dan dijatuhkan hukuman.

"Senarai nama yang diberikan itu akan disemak, sekiranya ada catatan menyatakan dia sedang dibicarakan, kita akan tulis.

"Sekiranya sedang menghadapi tuduhan berhubung apa juga kes, dalam proses undang-undang dengan tudahan apa pun atau kes sedang di peringkat pendakwaan.

"Kita juga ambil kira sekiranya ada sabitan sebelum ini yang pernah dipenjarakan dua bulan ke, lapan tahun ke, 10 tahun ke, semua rekod pun ada. Beginilah prosesnya," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS