Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Zuraida harap kes Adib disegerakan dengan pelantikan AG baru

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berharap perbicaraan kes Muhammad Adib Mohd Kassim akan dapat disegerakan dengan lantikan peguam negara (AG) yang baru.

Harapan itu dizahirkannya selepas mendakwa perbicaraan kes arwah anggota bomba itu “mengambil masa” di bawah seliaan AG sebelum ini.

“Kes Adib memang akan diteruskan dalam perbicaraan di mahkamah, cuma saya rasa, ketika itu (dulu), di bawah AG lama, dia mengambil masa sedikit untuk memulakan sesi perbicaraan.

“Jadi saya harap dengan ini kita boleh percepatkan, AG baru sudah dilantik jadi insya-Allah akan kita bawa kepada AG yang baru,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sebelum memulakan tugas di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Putrajaya, hari ini.

Sebaik tiba, beliau mengimbas kad perakam waktu sebagai tanda memulakan tugas di kementerian itu dan mengaminkan bacaan doa serta beramah mesra dengan petugas kementerian.

Pada 6 Mac lalu, Idris Harus dilantik sebagai AG baru untuk tempoh dua tahun, bagi menggantikan Tommy Thomas yang meletak jawatan pada 28 Februari selepas berkhidmat sejak November 2018.

Thomas sering menjadi sasaran kritikan oleh sesetengah pihak berhubung perkembangan kes Adib, malah ada juga yang mendesaknya agar meletak jawatan kerana didakwa gagal menegakkan keadilan.

Adib cedera parah ketika rusuhan pada 26 Nov 2018 di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, dan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Dis 2018, selepas mengalami kecederaan.

Pada 27 September lalu, mahkamah koroner memutuskan punca kematian arwah adalah akibat perbuatan jenayah.

Dalam perkembangan lain, Zuraida yang hari ini memulakan kembali tugas selaku menteri KPKT berkata, prioritinya kini adalah terhadap pelaksanaan dasar kebersihan negara, pembangunan teknologi WTE (sisa kepada tenaga) dan waste park (taman sisa), memperkasakan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta meningkatkan bidang kebombaan.

“Oleh kerana dahulu saya menteri PH, dan saya juga jadi menteri PN dalam kementerian ini, insya-Allah sudah tentu dasar-dasar yang telah kita mulakan dulu kita akan teruskan, kerana dasar itu digubal di bawah saya selaku menteri.

“Kita akan teruskan dasar yang baik. Sekarang kita berada di fasa pelaksanaan,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS