Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerahsiaan dan stigma - Kenapa lokasi Covid-19 tak didedahkan

KORONAVIRUS | Sejak kes-kes terawal Covid-19 dilaporkan di Malaysia, orang awam menyuarakan keinginan mereka untuk tahu tempat tinggal atau tempat kerja mereka yang didapati positif wabak itu.

Gesaan itu semakin kuat dengan jumlah kes yang semakin meningkat, dan khabar angin berkenaan lokasi yang telah dijangkiti virus itu mula tersebar.

Ketika ditanya berkenaa perkara ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah bertegas mengatakan kakitangan perubatan tidak boleh mendedahkan maklumat seumpama itu.

"Jika pesakit mahu dedahkan (maklumat mereka), mereka boleh berbuat demikian, tetapi kakitangan perubatan (tidak akan melakukannya)," katanya.

Menurut Noor Hisham, tindakan itu bukan saja mencabuli peraturan berkenaan kerahsiaan pesakit, tetapi kerana kemungkinan stigma yang akan timbul dan sukar dibuang.

"Walaupun tempat itu sudah pun dinyahjangkit, stigma tetap masih ada," katanya kepada pemberita dalam sesi taklimat di Putrajaya semalam.

Dalam keadaan di mana identiti pesakit Covid-19 diketahui umum, Noor Hisham berkata mereka dan keluarga mereka turut berdepan dengan stigma.

Beliau memetik satu insiden apabila pesakit diletakkan dalam pemantauan rumah secara mandatori, tetapi anak-anak mereka tidak perlu berbuat demikian.

"Walaupun mereka dikuarantin, anak-anak mereka tidak dibenarkan untuk ke sekolah walaupun mereka negatif (virus itu)," katanya.

Untuk rekod, garis panduan Kementerian Kesihatan berkenaan Covid-19 menetapkan sebaik saja pegawai perubatan mengenal pasti mana-mana individu sebagai kontak rapat pesakit, mereka perlu segera dikuarantin di rumah selama 14 hari.

Ia jika kontak rapat tersebut tidak menunjukkan tanda-tanda sakit, dan persekitaran rumah mereka sesuai untuk kuarantin.

Kontak rapat akan dimasukkan ke hospital jika mereka jatuh sakit dalam tempoh kuarantin, atau ujian makmal mengesahkan mereka ada virus Covid-19 (sama ada mereka menunjukkan simptom atau tidak).


Baca: Wabak Covid-19 di Malaysia


Menurut laporan bersama oleh China dan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), kurang daripada lima peratus kontak rapat yang kemudian disahkan positif Covid-19. Ia selaras dengan angka yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa kesihatan di seluruh dunia.

Di Malaysia, daripada 2,686 orang yang menjalani ujian setakat semalam, hanya 117 (4.35 peratus) yang disahkan positif wabak itu.

Sementara itu, garis panduan Majlis Perubatan Malaysia berkenaan kerahsiaan pesakit menyatakan maklumat pesakit perlu dianggap sebagai rahsia walaupun ia telah diketahui umum.

Ia juga mengingatkan pengamal perubatan bahawa apabila berurusan dengan media, pesakit boleh dikenal pasti menerusi maklumat lain, bukan hanya nama dan alamat.

Ia termasuklah menggunakan kombinasi maklumat seperti usia, pekerjaan dan kawasan tempat tinggal mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS