Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafizi ulang pendirian tak kembali aktif dalam politik
Diterbitkan:  Mar 10, 2020 9:19 PM
Dikemaskini: 1:19 PM

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli menegaskan pendiriannya untuk tidak kembali bergiat aktif dalam politik.

"Saya tak akan komen," katanya kepada Malaysiakini sebelum soalan diajukan kepadanya.

Ketika diberitahu berkenaan permintaan Pemuda PKR Perlis agar beliau kembali membantu parti itu membuat persediaan menghadapi PRU akan datang, Rafizi membalas:

"Tiada Komen. Apa saja yang saya kata, ia akan diputar belit menjadi satu spekulasi.

"Tetapi saya tiada rancangan untuk kembali dalam politik. Saya harap mereka faham," katanya, sambil berseloroh bahawa tumpuannya sekarang adalah untuk meneruskan diet bagi mengurangkan berat badan.

Rafizi juga berkata, beliau kini sibuk dengan dengan usaha membangunkan platform kecerdasan buatan (AI) bagi membantu suai padan kerja dan menambah baik pasaran pekerjaan.

"Pengangguran kekal sebagai isu besar dan walaupun mengendalikan startup teknologi tidak kelihatan penting, saya fikir saya boleh menyumbang dalam pembinaan negara dengan cara ini juga.

"Ada ramai pemimpin muda dan berbakat, mereka akan menyahut seruan untuk berkhidmat kepada negara," katanya lagi.

Bekas anggota parlimen Pandan itu tidak bertanding dalam PRU lalu selepas Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun kepadanya atas kesalahan membocorkan maklumat sulit perbankan milik National Feedlot Corporation (NFC) pada Mac 2012.

selepas PRU14, beliau dihujani kritikan kerana mempersoalkan pelantikan menteri yang dibuat Dr Mahathir Mohamad.

Ketika pemilihan PKR pada 2018, Rafizi bertanding untuk merebut jawatan timbalan presiden daripada Azmin Ali tetapi tewas. Beliau kemudian dilantik sebagai naib presiden.

Sejak itu beliau mengambil pendekatan untuk tidak menonjolkan diri dalam pentas politik negara.

Pada 15 November lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengenepikan sabitan bersalah terhadapnya dan seorang lagi individu, iaitu bekas kerani Public Bank Johari Mohamad. Hukuman penjara 30 tahun terhadapnya juga digugurkan.

Hari ini, Pemuda PKR Perlis dalam satu kenyataan mengharapkan Rafizi dan Nurul Izzah Anwar agar kembali memainkan peranan aktif dalam parti.

Kenyataan itu menyifatkan Rafizi sebagai salah seorang arkitek yang menyumbang kepada kemenangan PH dalam PRU lalu.

“Kami amat menyambut baik kepimpinan dan kebijaksanaan Rafizi bersama Nurul Izzah untuk kembali bersama-sama dengan parti pemimpin dan mengetuai pilihan raya umum yang akan datang,” kata kenyataan itu.

Pada November lalu, Anwar telah mengatakan Rafizi dan Izzah perlu diberi ruang sebelum kembali aktif dalam politik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS