Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AMK Perlis harap Rafizi, Izzah kembali aktif
Diterbitkan:  Mar 10, 2020 7:01 PM
Dikemaskini: 11:01 AM

Majlis Pimpinan Pemuda PKR (AMK) Perlis memohon supaya naib presiden Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar kembali bersama pimpinan parti bagi berdepan pilihan raya umum akan datang.

AMK Perlis menyifatkan Rafizi sebagai arkitek PH yang menyumbang kejayaan gabungan itu mengalahkan BN.

“Rafizi adalah arkitek PH yang telah menyumbang kepada kejayaan PH melawan kerajaan kleptokrat BN dan turut menawan Putrajaya.

“Kami amat menyambut baik kepimpinan dan kebijaksanaan Rafizi bersama Nurul Izzah untuk kembali bersama-sama dengan parti pemimpin dan mengetuai pilihan raya umum yang akan datang,” kata kenyataan itu.

Pada Dis 2018, Nurul Izzah meletakkan jawatannya sebagai naib presiden dan pengerusi PKR Pulau Pinang. Pada Mac 2019, beliau juga melepaskan jawatannya dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Kini beliau hanya memegang jawatan sebagai ahli parlimen Permatang Pauh.

Rafizi pula yang merupakan bekas ahli parlimen Pandan sebelum ini memberitahu bahawa beliau tidak berniat kembali aktif dalam politik selepas dibebaskan daripada hukuman penjara 30 bulan atas kesalahan mendedahkan data bank berkaitan National Feedlot Corporation (NFC).

Beliau sebaliknya dalam satu ciapan Twitter berkata, sedang memberi tumpuan kepada pembelajaran berkaitan teknologi.

Sementara itu, kenyataan media AMK Perlis itu juga mencadangkan supaya pemutihan dalam parti dilakukan dalam kalangan ahli pimpinan bagi mengelakkan "pengkhianatan" berlaku lagi.

Ia sebagai merujuk 'Langkah Sheraton' yang digerakkan kumpulan bekas timbalan presiden parti itu, Mohamed Azmin Ali.

“Susulan daripada pengkhianatan ini, kami mengalu-alukan tindakan pembersihan dan pemutihan dalam parti untuk memastikan parti ini bertambah kuat pada masa yang akan datang.

“Kami telah pun mengenal pasti nama-nama anggota parti yang bersekongkol dengan kumpulan pengkhianat dan tidak lagi selari dengan prinsip perjuangan parti untuk dihantar kepada Lembaga Disiplin,” kata kenyataan media Pemuda PKR Perlis.

'Langkah Sheraton' yang menggemparkan negara akhir bulan lalu menyaksikan tumbangnya kerajaan PH.

Gerakan itu dimulakan oleh Azmin dengan alasan untuk menghalang Presiden PKR Anwar Ibrahim menggesa Dr Mahathir Mohamad menyerahkan jawatan perdana menteri.

Selepas lebih seminggu kemelut itu, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, diangkat sebagai perdana menteri kelapan, dengan sokongan Umno, PAS dan kumpulan Azmin, selain Gabungan Parti Sarawak.

Dalam kenyataan sama, AMK PKR Perlis turut mencabar mana-mana pimpinan dan anggota parti yang masih bersengkongkol dengan kumpulan pengkhianat tetapi masih kekal dalam parti menyatakan pendirian mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS