Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Kelangsungan PN bergantung pada prestasi menteri’
Diterbitkan:  Mar 10, 2020 1:30 PM
Dikemaskini: 5:30 AM

Kekuatan dan kelangsungan Perikatan Nasional (PN) amat bergantung dengan prestasi jemaah menteri yang dilantik Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, berkata cabaran yang menanti kerajaan baru itu sangat luar biasa.

"Pengaruh, kekuatan dan kelangsungan PN amat bergantung dengan prestasi jemaah menteri yang dilantik.

"Kepada seluruh rakyat Malaysia, berikanlah perdana menteri dan kabinetnya ruang dan peluang untuk berkhidmat dan membuktikan kemampuan mereka," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Petang semalam, Muhyiddin mengumumkan barisan kabinet kerajaan PN pimpinannya selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Kabinet Muhyiddin bukan saja diisi oleh pemimpin daripada Bersatu, tetapi juga Umno, PAS, GPS dan Bebas.

Muhyiddin juga buat pertama kalinya dalam sejarah negara membuat kelainan apabila tiada jawatan timbalan perdana menteri dalam kabinet yang dibentuknya semalam.

Sebaliknya, empat menteri kanan dilantik bagi membantu beliau yang berperanan seperti mana timbalan perdana menteri sebelum ini.

Selain itu, kabinet Muhyiddin juga menyaksikan bekas mufti Wilayah Persekutuan, Zulkifli Mohamad pula dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri yang akan menguruskan hal ehwal agama Islam.

Ketua pegawai eksekutif CIMB Group Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz akan menerajui Kementerian Kewangan.

Kesemua barisan jemaah menteri dijadualkan akan mengangkat sumpah jawatan petang nanti.

Sementara itu anggota Majlis Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi, berkata pembentukan kabinet baru ini bukan bermakna mereka tidak boleh dikritik mahupun ditegur.

Puad Zarkashi

Katanya, kabinet baru PN dibentuk bukan kerana gagasan politik yang terbentuk awal sebaliknya ia gagasan politik tanpa struktur.

"Maka tidak ada sebab kabinet Muhyiddin ini tidak boleh dikritik dan ditegur. Ia dibentuk berasaskan kuasa penuh perdana menteri.

"Maka sebab itu hierarki parti terutamanya Umno jelas terpinggir. Perancang di sebalik tabir pula dapat ganjaran lumayan," katanya dalam satu catatan di Facebooknya.

Jelasnya mereka yang tiada jawatan dalam parti dan pernah melompat parti juga turut diberikan tempat dalam kerajaan baru PN.

Puad turut mempersoalkan kementerian yang dekat dengan rakyat akar umbi semua dikuasai oleh Bersatu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS