Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kabinet PN: Apa kata mufti, pengkritik, penyokong
Diterbitkan:  Mar 10, 2020 12:11 AM
Dikemaskini: 4:11 PM

Selepas seminggu Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan, beliau akhirnya mengumumkan barisan kabinetnya.

Kabinet baru ini terdiri daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) yang termasuk BN, PAS, Bersatu dengan sokongan GPS and 11 bekas MP PKR diketuai Azmin Ali.

Sejak diumumkan, kabinet baru mendapat maklum balas dari pelbagai pihak.

Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Barisan kabinet bukan sahaja tidak menyenaraikan Presiden PAS Abdul Hadi Awang, tetapi juga cuma melantik tiga menteri daripada PAS yang mengundang tanda tanya sebahagian orang ramai.

Dr Mohd Asri Zainul Abidin tampil mempertahankan PAS daripada pengkritiknya, berkata Abdul Hadi sendiri bertegas "tidak mewajibkan agar dirinya mesti dilantik."

"Walaupun beliau mengemukakan senarai nama dari partinya, tapi beliau tidak bertegas membuat tuntutan untuk dirinya. Kita patut memuji sikap yang seperti itu. Matlamat kita untuk melihat satu kerajaan yang stabil, cekap, melindungi asas-asas negara dan makmur. Para pemimpin yang mencari redha Allah. Jika kita semua tulus kerana Allah, banyak urusan umat ini akan berjaya kita laksanakan.

"Saya melihat pihak-pihak yang mempersendakan seakan Presiden PAS kecewa tidak dilantik. Saya percaya, persendaan itu satu dosa atas tuduhan yang tidak berasas.

"Marilah kita sama-sama mendokong kerajaan yang dibentuk ini demi kebaikan dan masa depan negara yang kita cintai ini. Ketepikan emosi dan kepentingan diri."

Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof

Walaupun GPS menganggotai Kabinet Persekutuan, namun kedudukan GPS kekal sebagai entiti politik Sarawak mesra Kerajaan Persekutuan, dengan GPS akan terus memperjuangkan hak-hak Sarawak, dan tidak akan menyertai Perikatan Nasional (PN).

Dahulu pun dibawah Kerajaan Pakatan Harapan, GPS mengambil pendekatan mesra Kerajaan Persekutuan, namun bezanya dibawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin, Perdana Menteri kelapan memerlukan GPS untuk sama-sama berada dalam Kabinet serta mentadbir negara dan mendepani senario politik dan ekonomi yang kian mencabar demi kepentingan nasional.

Kami anggota kabinet dari GPS selain memperjuangkan hak Sarawak, akan sentiasa memberi keutamaan kepada kepentingan nasional, dalam melaksanakan amanah atas portfolio yang dipertanggungjawabkan.

Bekas menteri, timbalan menteri belia dan sukan 

"Tahniah YB Reezal Merican Naina Merican dan saudara Wan Fayhsal atas lantikan sebagai menteri dan timbalan menteri belia dan sukan.

"Selamat menjalankan tugas dan berkhidmat sebaiknya untuk masa depan belia dan juga kemajuan sukan negara," kata bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga ketua Armada Bersatu pada kicauan di Twitter.

Sementara itu, bekas timbalan menteri belia dan sukan Steven Sim berharap kerajaan PN akan meneruskan dasar-dasar pentadbiran terdahulu.

"Kini, kabinet baru telah diumumkan.

"Walaupun berbeda pandangan dengan kerajaan PN, saya tetap berharap menteri KBS baru akan mengambil kira dasar-dasar yang dirancang semasa tempoh perkhidmatan kami demi kesinambungan pembangunan sektor belia dan sukan negara, sepertimana kami telah meneruskan beberapa dasar zaman BN yang dapat memanfaatkan rakyat," katanya pada hantaran di Facebook.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS