Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan PH runtuh di Perak sudah dijangka - Farhash
Diterbitkan:  Mar 9, 2020 5:01 PM
Dikemaskini: 9:01 AM

PKR telah menjangkakan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan tumbang ekoran tindak tanduk Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu yang mempermainkan rakyat.

Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak turut mendakwa Adun Kuala Kurau Abdul Yunus Jamhari menjadi pengkhianat apabila meninggalkan parti itu dan menyertai Bersatu.

"Kami sudah menjangkakan Perak juga tidak akan terselamat kerana sudah lama kecewa (dengan) Faizal.

"Sikapnya yang suka mempermainkan rakyat boleh dilihat sepanjang minggu lepas dalam melengahkan masa untuk membuat keputusan pendirian Bersatu.

"Kerajaan kita mungkin jatuh hari ini tapi akan bangkit semula bersama rakan-rakan yang setia berjuang tanpa kewujudan kabilah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kerajaan PH tumbang di Perak apabila gabungan Perikatan Nasional (PN) menguasai 32 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri yang baru.

Perkara itu diumumkan menteri besar Perak dalam satu sidang media khas yang diadakan di Ipoh.

"Saya dengan ini ingin memaklumkan kepimpinan Bersatu, Umno dan PAS Perak telah mencapai persetujuan untuk bentuk gabungan baru.

"Gabungan ini melibatkan empat Adun daripada Bersatu iaitu saya sebagai Adun Chenderiang dan Adun Sungai Manik, Zainol Fadzi serta dua lagi Adun yang telah menyertai Bersatu iaitu Adun Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari dan Adun Tualang Sekah, Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

"Gabungan ini turut melibatkan kesemua 25 Adun daripada Umno dan tiga Adun daripada PAS. Dengan gabungan ketiga-tiga parti ini, maka PN negeri Perak dapat menubuhkan Kerajaan negeri Perak yang baru, dengan jumlah majoriti 32 Ahli Dewan Negeri," kata Faizal.

Dalam pada itu Farhash menyifatkan Faizal dan sekutunya sebagai rakus kerana sanggap membelakangkan rakyat dan wajar dihukum dalam pilihan raya nanti.

Sementara itu bekas exco kerajaan negeri Perak, Howard Lee Chuan How, berkata kejatuhan kerajaan PH Perak memberi gambaran sebenar siapa sahabat dan lawan.

Katanya, beliau akan terus kekal mempertahankan prinsip dan integriti walau dalam apa juga situasai.

"Maruah dan integriti dipegang teguh, waktu bangun mahupun jatuh.

"Bila musuh muncul kuat dan sepakat, ketahui lah kita siapa sahabat siapa pengkhianat," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS