Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Presiden PKR, Anwar Ibrahim hari ini membayangkan bahawa sesi pujuk-memujuk pemimpin dan anggota parlimen PH untuk menukar sokongan sedang giat berjalan bagi memperkukuhkan kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, Anwar yang juga anggota parlimen Port Dickson mengakui sehingga kini belum ada mana-mana pihak yang cuba untuk memujuk beliau.

“Ini (krisis politik) adalah laluan kendala kecil dalam perjuangan sebab yang pindah (lompat) itu pun keadaan dia goyah, dia tidak kuat sekalipun.

“(Sebab itu) kerjanya dok pujuk satu demi satu. Saya saja belum kena pujuk. Saya kecil hati juga. Tapi, siapa datang pujuk saya lesing dia,” katanya dengan nada berseloroh.

Anwar berkata demikian dalam Majlis Himpunan Tertinggi PRO98 Reformis Malaysia bersama Anwar Ibrahim dan Puteri Reformis di kediamannya di Bukit Segambut, Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Pro 98 Reformis, Dr Badrul Amin Bahron.

Akhir bulan lalu, negara digemparkan apabila beberapa parti politik, termasuk dari Bersatu dan kumpulan PKR yang diketuai Azmin Ali berkumpul di hotel Sheraton, di Petaling Jaya untuk menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir bagaimanapun meletakkan jawatan sebagai perdana menteri kerana enggan bekerjasama dengan Umno, sementara Bersatu keluar dari PH untuk menubuhkan kerajaan bersama BN dan PAS.

Namun, selepas lebih seminggu kemelut itu, Muhyiddin, diangkat sebagai perdana menteri kelapan, dengan sokongan Umno, PAS dan kumpulan Azmin, selain Gabungan Parti Sarawak.

Sejak itu, Mahathir dan pemimpin PH menggelar Muhyiddin sebagai pengkhianat.

Anwar juga menyifatkan keruntuhan pentadbiran PH sebagai suatu "rompakan kuasa."

“Kita tahu itu (pergolakan dalam parti) semua bukan baru, bertahun parti ini berkecamuk sedikit sebanyak kerana usaha-usaha sedemikian.

“Ramai yang kurang yakin pada masa itu dan sekarang terbukti yang kita serang (selama) ini antara lain yang kartel ini adalah orang yang khianat kepada amanah rakyat dalam PRU,” katanya.

Menjelaskan lanjut, Anwar berkata kemelut politik itu tidak mematahkan semangat parti.

Katanya, malahan PKR dalam usaha merencana kekuatan bagi terus memantapkan jentera parti.

“Ini simpang siur politik siapa menteri, siapa perdana menteri sementara ini mainan sandiwara, drama sementara.

“Kita ikut landasan perjuangan kita. Jangan kita terlalu gusar,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS