Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Timbalan ketua Wanita PKR: Saya kekal setia dengan parti
Diterbitkan:  Mar 7, 2020 3:16 PM
Dikemaskini: 7:16 AM

Susulan gesaan memecat ahli PKR yang sebelum ini dikaitkan dengan bekas timbalan presiden Mohamed Azmin Ali, Timbalan Ketua Wanita PKR Dr Daroyah Alwi menyatakan kesetiaannya kepada parti itu.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Daroyah yang sebelum ini dilihat merupakan antara penyokong Azmin menyeru agar ahli-ahli parti bersatu padu.

"Membujur lalu melintang patah, saya mengumumkan pendirian untuk terus komited dan kekal setia memperjuangkan idealisme perjuangan reformasi bersama PKR," katanya.

Daroyah juga menambah bahawa "kepentingan rakyat kekal menjadi keutamaan selain tidak mencampuri kemelut yang berlaku di dalam Pakatan Harapan".

"Ayuh anggota PKR di semua peringkat, bulatkan azam, perkukuh tekad dan rapatkan saf juga perkemas muafakat untuk terus bekerja keras memelihara mandat dan amanah rakyat ini.

"Hentikan usaha mengkucar-kacirkan parti kerana ia tidak memberi sebarang keuntungan malah bakal merugikan," katanya lagi.

Semalam, beberapa ahli Pemuda PKR menggesa parti itu untuk memecat 18 pemimpin yang mereka dakwa memudaratkan parti.

Nama 18 pemimpin PKR yang dimaksudkan tidak didedahkan namun menggambarkan mereka sebagai sekutu Azmin dan telah bersekongkol dalam rampasan kuasa "Langkah Sheraton Move" pada 23 Februari.

Mereka juga memohon presiden parti, Anwar Ibrahim untuk tidak memaafkan 18 individu berkenaan walaupun selepas menyatakan kesetiaan kepada parti itu.

Awal minggu ini, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menegaskan kesetiaannya adalah dengan PKR dan bukan Azmin.

Beliau juga berpendapat bahawa apa-apa kempen untuk menghapuskan pengkhianat dari parti itu tidak perlu kerana orang-orang seperti itu telah diusir.

Azmin, bersama bekas naib presiden parti Zuraida Kamaruddin dan pembantunya Nor Hizwan Ahmad dipecat selepas mereka bekerjasama dengan Bersatu dalam gerakan bersama Umno dan PAS untuk menubuhkan Perikatan Nasional.

Pakatan politik baru itu kini merupakan pemerintah dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai peneraju utama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS