ULASAN | Saya secara tanpa dirancang bertemu dan berbincang dengan Dr Rohaidah Kamaruddin berkaitan kajian beliau yang dibukukan oleh Penerbit Universiti Putra Malaysia pada 2015 iaitu Hang Tuah: Catatan Okinawa dan pada 2019 - Hang Tuah: Catatan Vijayanagara.
Apa yang menarik perhatian, Dr Rohaidah dan pasukan pergi ke Okinawa dan Vijayanagara, India bagi mengesahkan maklumat yang dikaji.
Ia tidak jauh beza dengan kaedah yang selalu saya gunakan dalam membuktikan kesahihannya sesuatu fakta iaitu turun ke lapangan dan dapatkan apa sahaja petunjuk dan maklumat bersumber primer dan sekunder.
Bagaimanapun,yang masih menjadi tanda tanya semua pengkaji Laksamana Hang Tuah ialah lokasi sebenar makam diplomat Empayar Melaka ke India, Turki dan Pattani itu?
Timbul juga persoalan, adakah Hang Tuah pernah berkhidmat bawah Maharaja India di jajahan Vijayanagara?
Lokasi yang masyhur sehingga ditanda papan tanda sejarah ialah Tanjung Kling, Melaka.
Saya sendiri telah beberapa kali melawat “Makam Hang Tuah” ini. Tetapi selepas membuat beberapa rujukan silang seperti ada keraguan.
Terdapat tiga batu Aceh lain di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Kling ini tetapi tiada papan tanda sejarah kerana tidak diketahui pemiliknya.
Saya ingin merujuk artikel Berita Minggu pada 10 Mac 1985 bertajuk “Inikah makam Hang Tuah?”.
Sejak sekian lama makam panjang ini dipertikai milik Laksamana Hang Tuah.
Ketika ini, Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) menjaga makam “Hang Tuah” ini walaupun ada mengaitkan Makam Laksamana Hang Tuah di Sumatera dan lokasi lain.
Tetapi setahu saya, Tanjung Kling ini terkenal sebagai lokasi diadakan adat mandi safar seperti dilaporkan Berita Harian pada 17 Julai 1962.
“Tetapi apa yang saya tahu dari cherita2 mulut orang tua2 di-situ, bahawa adat mandi safar di Tg Keling itu telah berlangsong sejak beberapa ratus tahun dahulu ia-itu dari semenjang orang Portugis berada di-Melaka.”
Walaupun, adat mandi safar di Tanjong Kling telah lama ditinggalkan tetapi kenapa ia diadakan berhampiran makam Hang Tuah ini?
Rupanya ada kisah yang tidak diketahui seperti petikan Berita Harian ini:
“Konon-nya sebab Tg Keling di-jadikan tempat mandi safar ia-lah kerana di-sana-lah di-makamkan Bendahara Seri Maharaja Melaka yang terbunoh oleh Sultan Mahmud Shah yang memerintah Negeri Melaka ketika itu (1510)”
Nampaknya, makam yang dipercayai Laksamana Hang Tuah ini kemungkinan makam Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir iaitu ayahanda Permaisuri Tun Fatimah yang dibunuh akibat fitnah menjelang kejatuhan Empayar Melaka di tangan Portugis pada tahun 1511. Wallahualam.
Adakah batu Aceh di batu satu Jalan Bakri milik Laksamana Hang Tuah?
Saya bersama Arif Sukor, pengkaji sejarah Muar telah beberapa kali memeriksa dua batu Aceh yang bersandar tidak jauh daripada kubur ayahanda perdana menteri kelapan iaitu arwah Tuan Guru Haji Muhammad Yassin Muhammad di Tanah Perkuburan Islam Batu Satu, Jalan Bakri, Bandar Maharani.
Keadaan perkuburan Islam lama ini juga tidak terurus dan menyebabkan tidak ramai mengetahui kewujudan dua batu Aceh yang bersandar di sini.
Saya merujuk kepada “Muar: (Bandar Maharani), plant of Port/complied and drawn by inter-service topographical Department” bersumber National Library of Australia Digitised.
Terdapat satu kawasan ditanda “keramat” di mana hari ini berada di dalam kawasan Kelab Golf Tanjung Emas iaitu Jalan Sultanah Bandar Maharani dan berhampiran kediaman rasmi Pegawai Daerah Muar.
Lokasinya tidak jauh dari Kuala Sungai Muar dan menjadi tumpuan penduduk Bandar Maharani beriadah khususnya setiap petang kerana panorama indah Selat Melaka termasuk kelihatan Pulau Besar, Melaka.
Maknanya pada sehingga tahun 1945, Keramat yang dipercayai ditanda Batu Aceh yang dipindahkan ke Tanah Perkuburan Islam Batu Satu Jalan Bakri masih di tapak asal.
Tidak diketahui bila dan siapa yang memindahkan di tapak asal.
Saya terkejut kewujudan keramat di Kuala Muar ini direkodkan dalam bentuk pantun pada tahun 1931 seperti diabadi di dalam buku “Pantun Pilihan Peranakan Baba Negeri Selat 1910-1930an” terbitan Universiti Sains Malaysia disusun oleh Ding Choo Ming iaitu:
Orang prompak di Kuala Muar,
Dudok Menunggu tepi Kramat;
Jikalu jumpa guru yang benar,
Apa plajaran lekas-lah tamat
Saya memang teruja ingin mengetahui pemilik dua Batu Aceh ini. Dan apabila berbincang dengan Dr Rohaidah, beliau memberi saya terjemahan catatan diari Alfonso de Alburquerque dan merasakan lokasi paling hampir Makam Laksamana Hang Tuah ialah di Kuala Muar.
Tetapi tidak diketahui di mana sehingga saya berkongsi petunjuk di atas. Lihat apa yang dicatat Alfonso de Alburquerque yang diterjemah dalam Bahasa Inggeris iaitu:
“This Lassamane was a man of eighty of age, a good soldier, and of good repute and great knowledge: when he perceived that the king of Malaca was lost, he went and settled in Singapura and after Afonso Dalboquerque was in possession of Malaca, he came down to the River of Muar and sent to ask a safeguard, declaring that he was desirous of returning to live at Malaca and serving the king of Portugal. Afonso Dalboquerque sent him the safeguard; nevertheless he would not come, and it was thought that some of the Moors of Malaca, hoping to gain favours from Afonso Dalboquerque and obtain the government of the land, had written something to his Lassamane, whereby they had prevented his coming, for the feared that as he was a man of uncommon capabilities, Afonso Dalboquerque would seize the opportunity to make use of him for the governing of Malaca.”
Kesimpulannya, saya macam tidak percaya telah menemui tapak asal Makam Laksamana Hang Tuah dan telah memegang batu Aceh yang dipercayai milik Laksamana Hang Tuah.
Kemungkinan ya dan sebaliknya.
Dr Rohaidah Kamaruddin ada nyatakan hasrat turun ke lokasi ditanda keramat dan menyelidik batu Aceh ini segera.
Selain mendapatkan sampel tulang untuk tujuan pentarikhan karbon atau mengukur umur pemilik makam keramat dipercayai Laksamana Hang Tuah dengan menggali sedalam sekurang kurangnya tujuh kaki.
Jasa baik Pegawai Daerah Muar, Tuan Khadi Daerah Muar, Yayasan Warisan Johor, Pemilik Golf Tanjung Emas dan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Johor diperlukan agar hasrat Dr Rohaidah menjadi kenyataan.
Laksamana Hang Tuah sentiasa dekat di hati kita. Dan jika benar makamnya di Bandar Maharani Muar, tentulah ia sesuatu yang di luar jangka.
MOHD AZLAN MOHD SHARIF ialah anggota jawatankuasa Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Batu Pahat.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.