Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) digesa mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi memungut suara akar umbi berhubung kemelut yang melanda kepemimpinan tertinggi parti itu.

Kata Exco Agama Pemuda Bersatu, Abu Hafiz Salleh Hudin, ahli parti di akar umbi dilayan secara tidak adil kerana mandat mereka tidak diminta apabila parti membuat perubahan komitmen menarik diri daripada PH, seperti diumum Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin 24 Februari lalu.

“Sepatutnya EGM dilakukan kerana parti ini walaupun ditubuhkan oleh pimpinan, ahli parti juga adalah tunggak dan juga tulang belakang kepada parti,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Merujuk kemelut dalam Bersatu ekoran 'Langkah Sheraton' yang menyaksikan dua pemimpin tertingginya, Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin bergeser, kata Abu Hafiz, keadaan masih “tergantung” memandangkan tiada forum rasmi untuk menetapkan pendirian parti.

Secara peribadi, dia memandang keputusan untuk keluar dari PH adalah hak prerogatif mana-mana parti, namun, yang dipersoalkannya adalah sikap tidak berterus-terang dan keputusan untuk “keluar melalui pintu belakang”.

“Adakah kepimpinan Bersatu begitu lemah, begitu bacul, begitu tak berani untuk ke hadapan mendapatkan mandat ahli parti (untuk keluar PH) melalui EGM sebagai contoh, atau secara terbuka, kata kita nak keluar.

“Atau (diputuskan) dalam majlis MPT (majlis pimpinan tertinggi) dan bentang dalam Majlis Presiden?

“Itu yang menjadi ralat apabila ketidakberanian itu dizahirkan melalui pintu belakang. Sebab akhirnya, sama ada pintu belakang atau depan, nak keluar (PH) juga kan? Itu soalannya,” katanya lagi.

Mengakui kekuatan Bersatu terletak pada Dr Mahathir dan Muhyiddin yang menarik ramai orang masuk ke parti itu pada awal penubuhan, namun tegasnya, hala tuju parti perlu ditentukan oleh suara ahli.

'Langkah Sheraton' yang bermula 23 Februari lalu menyaksikan Bersatu bergabung dengan BN, PAS dan sekumpulan bekas ahli parlimen PKR diketuai Mohamed Azmin Ali, serta disokong Gabungan Parti Sarawak (GPS), menumbangkan kerajaan PH.

Perbezaan pendirian antara Mahathir dan Muhyiddin, terutamanya tentang keputusan untuk menerima Umno secara keseluruhan (en bloc) menyebabkan sokongan berbelah bahagi bukan sahaja di kalangan wakil rakyat bagi memilih calon perdana menteri, bahkan di kalangan ahli Bersatu sendiri.

Muhyiddin akhirnya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk dilantik perdana menteri kelapaa pada 29 Februari, dan mengangkat sumpah sehari kemudian, namun konflik dalaman Bersatu semakin parah.

Akar umbi keliru

Kem penyokong Mahathir seperti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Mukhriz Mahathir mula menyertai ceramah terbuka mendekati akar umbi bagi menolak kerjasama en bloc dengan Umno, manakala empat daripada lima Adun Bersatu di Selangor, serta dua di Pulau Pinang menyatakan sokongan kepada PH.

Bagi Ketua Pemuda Bersatu Bahagian Kuala Terengganu Amir Long, meskipun Bersatu Terengganu mengikut pendirian Muhyiddin, namun katanya, baik Dr Mahathir mahupun Muhyiddin, kedua-duanya masih mendapat sokongan daripada akar umbi.

Namun dia tidak menafikan kemelut yang berlaku menyebabkan akar umbi “keliru”, justeru dia mengharapkan ada usaha daripada parti bagi merungkai kekeliruan berkenaan, sama ada melalui EGM atau pun perbincangan sesama pimpinan.

“Ya, kena ada EGM, supaya boleh tengok apa masalah sebenarnya. Kita sekarang pun masih tak faham adakah kita perlu ikut itu atau ini, sedangkan ramai ahli yang bertanya. Saya sendiri pun tidak jelas.

“[...] Kita tak jangka perkara ini berlaku (Bersatu keluar PH), tapi kita ikut sajalah. Tapi pimpinan atas kena buat sesuatulah, (seperti) ketua Armada, ketua Srikandi, naib presiden, timbalan presiden (dan lain-lain) kena duduk balik dan buat (pendirian) untuk semua ahli dengar.

“Harapnya secepat mungkin (EGM atau mesyuarat pimpinan). Harapnya bulan Mac ini pun dah buatlah. Sebab kita nak kurangkan kebinasaan lingkungan (collateral damage),” katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun bagi Amir, di Terengganu, kemelut yang melanda tidak memberi apa-apa kesan buat fasa pemilihan parti yang sedang berlangsung, namun bagi Abu Hafiz pula, ia berpotensi membuatkan ahli parti “hilang mood” untuk mengundi dalam pemilihan.

Berkongsi pandangan yang sedikit berbeza daripada Abu Hafiz dan Amir, ketua Wanita Bersatu Setiawangsa, Linda Buang berpandangan, MPT perlu diutamakan bagi memberi ruang pimpinan mencapai kata sepakat.

“Jika tiada kata sepakat, baru kita adakan EGM dan ahli boleh tentukan,” katanya ketika dihubungi.

Mengakui ada akar umbi yang tidak bersetuju dengan kerjasama Perikatan Nasional, terutamanya melibatkan beberapa pemimpin Umno yang terlibat perbicaraan mahkamah, namun, di dasarnya, akar umbi masih menyayangi kedua-dua Mahathir dan Muhyiddin.

"Kami lebih menyukai jika majlis tertinggi, presiden dan pengerusi duduk bersama menyelesaikan ketidaktentuan yang sedang berlaku.

“Kami pejuang-pejuang lama ini merasa demikian. Tapi yang baru mengikut, yang baru menjadi ahli Bersatu, mungkin merasa tidak kisah tentang siapa pun yang menerajui parti ini,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS