Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemerhati politik saran PM segera lantik menteri di kementerian kritikal

Pemerhati politik berpendapat menteri bagi beberapa kementerian kritikal perlu dilantik segera oleh kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Penganalisis politik, Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM) berpendapat Kementerian Kesihatan (KKM) misalnya perlu disegerakan ketika negara berhadapan ancaman virus Covid-19.

"Kementerian Kesihatan perlu disegerakan kerana kita sedang berhadapan dengan isu kesihatan virus Covid-19.

"Kementerian ekonomi, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pendidikan (KPM) juga perlu disegerakan dilantik menteri.

"Bagaimanapun penjawat awam telah memainkan peranan hebat dalam menjamin perjalanan kerajaan ketika krisis berlaku, mungkin sebab itu perdana menteri ambil sedikit masa untuk bentuk kabinet," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Tambahnya lagi, jika menteri bagi kementerian ini segera diwujudkan ia mampu membantu Muhyiddin yang ketika ini terpaksa memantau kesemua kementerian yang ada.

Pada 1 Mac lalu, Muhyiddin Yassin dilantik sebagai perdana menteri kelapan selepas krisis politik yang melanda negara ekoran peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad selaku perdana menteri.

Muhyiddin dipilih sebagai perdana menteri dan membentuk kerajaan Perikatan Nasional dengan disokong BN, PAS, GPS dan Bebas.

Hampir seminggu menjawat jawatan perdana menteri, Muhyiddin sehingga kini masih belum membentuk kabinet kerajaan pimpinannya.

Malah, jawatan timbalan perdana menteri juga masih menjadi tanda tanya dan ada pihak mencadangkan supaya ia diisi Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Krisis politik negara berlangsung ketika mana Malaysia turut terpalit dengan ancaman virus Covid-19.

Sehingga jam 6 petang 6 Mac, Malaysia mencatat 83 kes Covid-19.

Dalam pada itu, Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Mizan Aslam, berpandangan kementerian kritikal seperti KKM, KDN dan Kementerian Pertahanan perlu segera memiliki menteri.

Katanya, ia penting ketika negara berhadapan ancaman virus Covid-19, soal keselamatan dan ancaman pada negara juga perlu diberi perhatian.

Tak salah lantik bekas menteri

Bagaimanapun beliau menyarankan perdana menteri, jawatan itu perlu diisi oleh mereka yang benar-benar layak dan bukan soal kuota parti semata-mata.

"Faktor keselamatan dalam dan luar harus diambil perhatian, kementerian ini tidak boleh dibiarkan terlalu lama tanpa menteri.

"Bagi kementerian kesihatan, saya melihat bekas menteri sebelum ini layak untuk memimpin kementerian berkenaan dan tidak salah jika beliau terus dilantik," katanya.

Sementara itu, pemerhati politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Kamarul Zaman Yusoff pula berpendapat selain KKM, KDN dan KPM, Muhyiddin juga perlu segera melantik menteri bagi menerajui Kementerian Kewangan.

Katanya, dalam berhadapan isu virus Covid-19, sememangnya menteri kesihatan perlu segera dilantik bagi menyelaras isu terbabit yang menjadi masalah antarabangsa.

"Saya kira kementerian kewangan juga perlu segera mempunyai menteri, ini penting dalam soal mengurus negara.

"Dalam kita menghadapi isu ekonomi dan kesihatan mungkin memerlukan dana-dana tertentu bagi memastikan suasana negara sentiasa terkawal," katanya.

Selain KDN dan Kementerian Pertahanan yang dilihat penting bagi soal keselamatan rakyat, Kementerian Pendidikan juga adalah mustahak dan perlu segera diterajui seorang menteri berkaliber.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS