Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiada undang-undang halang wakil rakyat keluar parti, kata peguam

Tiada sebarang undang-undang atau peruntukan perlembagaan yang menghalang seseorang wakil rakyat untuk keluar atau menukar parti, kata peguam.

Mengulas tindakan PKR mahu menyaman 12 bekas wakil rakyatnya RM10 juta setiap seorang, peguam Akberdin Abdul Kadir berkata sebarang perjanjian yang ditandangani mereka bersama parti itu adalah tidak sah jika bertentangan undang-undang.

“Setahu saya, tak ada undang-undang atau pun perlembagaan yang menghalang mereka daripada tukar parti," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Semalam, Malaysiakini melaporkan bendahari PKR, Lee Chean Chung berkata, saman itu berdasarkan dokumen yang ditandatangani wakil rakyat berkenaan sebelum mereka diletakkan sebagai calon pada pilihan raya umum 2018.

Menurut dokumen yang dilihat Malaysiakini, setiap wakil rakyat terbabit perlu membayar PKR sebanyak RM10 juta jika dipecat sebagai ahli, melompat ke parti lain atau meninggalkan parti tetapi kekal sebagai calon bebas.

Pembayaran itu perlu dilakukan dalam masa tujuh hari selepas seseorang wakil rakyat keluar atau dipecat daripada parti.

“Kalau ada (perjanjian), pertama kita kena teliti dulu sayarat-syarat dalam perjanjian tu dan kedua kita kena tengok perjanjian macam ni dibenarkan oleh undang-undang atau tidak.

“Sebab apa-apa pun perjanjian yang berlawanan dengan undang-undang tak sah,” kata Akberdin.

Seramai 12 wakil rakyat terbabit terdiri daripada sembilan anggota parlimen dan tiga Adun.

Anggota Parlimen terbabit adalah Azmin Ali (Gombak), Zuraida Kamaruddin (Ampang), Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Mansor

Othman (Nibong Tebal), Rashid Hasnon (Batu Pahat), Santhara Kumar (Segamat) , Ali Biju (Saratok) dan Willie Mongin (Puncak Borneo).

Tiga Adun berkenaan pula ialah Adun Gombak Setia, Hilman Idham, Adun Rembia, Muhammad Jailani Khamis dari Melaka dan Adun Pemanis Chong Fat Full dari Johor.

Sementara itu, Adun Pemanis ketika diminta mengulas mengenai tindakan saman tersebut berkata ia mustahil dilakukan kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Mereka (PKR) tidak boleh saman kami (wakil rakyat keluar parti). Mahkamah tertinggi menetapkan perkara ini.

“Ia (tindakan PKR) bertentangan dengan perlembagaan persekutuan kita,” katanya kepada Malaysiakini.

Pada 4 Mac, Chong keluar dari PKR dan menjadi wakil bebas mesra Perikatan Nasional (PN) bersama 11 yang lain. 

Tindakannya itu menjadikan PN mempunyai majoriti cukup dalam Dun Johor untuk menubuhkan kerajaan negeri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS