Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Permohonan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk ringkasan penghakiman dalam saman terhadap bekas perdana menteri Najib Razak bagi menuntut cukai pendapatan sebanyak RM1.69 bilion akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 April.

Hakim Ahmad Bache menetapkan tarikh pendengaran semasa pengurusan kes hari ini.

Peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee mengesahkan perkara itu ketika dihubungi hari ini.

"Mahkamah menetapkan 17 April pukul 3 petang untuk sesi pendengaran LHDN berhubung permohonan ringkasan penghakiman.

"Mahkamah juga menetapkan 3 April untuk pengurusan kes," kata Farhan.

Berhubung sama ada bekas perdana menteri akan memfailkan rayuan terhadap keengganan mahkamah membenarkan penangguhan saman cukai berkenaan, Farhan berkata setakat ini telah ada arahan daripada Najib untuk berbuat demikian.

Pada 28 Feb lepas, dilaporkan bahawa Mahkamah Tinggi mengenepikan permohonan Najib untuk menangguhkan saman berkenaan terhadapnya, sementara menunggu rayuan penilaian semula cukainya dengan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan LHDN (PKCP).

Dalam menolak permohonan Najib, Ahmad memutuskan antara lain bahawa tidak ada keadaan khas untuk membenarkan penangguhan prosiding, dan permohonan itu bersifat pramatang.

Pasukan peguam Najib berhujah antara lain bahawa saman itu bertujuan untuk menyingkirkan bekas presiden Umno itu dari arena politik berikutan sumbangannya yang besar kepada kemenangan pembangkang dalam lima pilihan raya kecil.

Dalam prosiding bulan lepas, DP Naban, seorang peguam swasta yang dilantik oleh LHDN menegaskan bahawa permohonan Najib untuk menangguhkan saman itu adalah pramatang dan defendan (Najib) masih perlu membayar RM1.69 bilion jumlah cukai yang diminta oleh LHDN sementara menunggu hasil rayuan daripada penilaian semula cukai.

Kerajaan memfailkan saman terhadap Najib pada 25 Jun tahun lepas.

Kerajaan menuntut bekas perdana menteri itu membayar RM1.69 bilion, dengan kadar faedah lima peratus tahunan bermula dari tarikh penghakiman, serta kos dan relif lain yang dianggap wajar oleh mahkamah.

Dalam pernyataan tuntutannya, kerajaan berkata Najib gagal membayar cukai pendapatan dari 2011 hingga 2017 dalam tempoh 30 hari yang ditetapkan selepas notis penilaian dikeluarkan.

Oleh itu, jumlah cukai yang dihutang setiap tahun meningkat sebanyak 10 peratus.

Ia juga berkata Najib telah diberikan 60 hari untuk membayar cukai, bersama-sama dengan kenaikan 10 peratus, tetapi dia gagal berbuat demikian.

Berikutan itu, Najib menaggung peningkatan bayaran lima peratus lagi dalam kenaikan 10 peratus, menjadikan jumlah cukai pendapatan berjumlah RM1,692,872,924.83.

Jumlah akhir yang dibayar setiap tahun adalah seperti berikut:

2011: RM134,180,247.10

2012: RM370,674,071.81

2013: RM1,029,767,352.60

2014: RM137,612,077.11

2015: RM19,495,822.53

2016: RM743,179.21

2017: RM400,174.47


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS