Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hadi tak 'syok' dicalon jadi TPM
Diterbitkan:  Mar 6, 2020 12:58 PM
Dikemaskini: 6:58 AM

Presiden PAS Abdul Hadi Awang tidak mewajibkan dirinya dilantik sebarang jawatan dalam kabinet termasuk timbalan perdana menteri.

Dalam nada bergurau Hadi berkata, beliau tidak "syok" apabila dirinya dicalonkan bagi menyandang jawatan timbalan perdana menteri.

"Saya terbuka kepada (pertimbangan) perdana menteri (Muhyiddin Yassin) dan tak mewajibkan saya dipilih (sebagai menteri). Saya tak dipilih tak apa, saya balik kampung jadi nelayan tak apa.

"Yang calonkan saya (jawatan timbalan perdana menteri) orang biasa, patut perdana menteri, ada orang syok apabila orang calonkan dia, saya tak syok," katanya dalam sidang media khas di Rusila, Terengganu, hari ini.

Sidang media terbabit disiarkan secara langsung melalui Facebook rasminya.

Hadir sama dalam sidang media itu, Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Semalam, media melaporkan Bersatu Terengganu, mencadangkan supaya Presiden PAS itu dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Ketua Bersatu Terengganu, Razali Idris berkata Hadi calon yang paling layak mengisi jawatan itu kerana tidak pernah terpalit dengan isu salah guna kuasa atau skandal rasuah sepanjang terlibat dalam politik.

Selain itu katanya, gandingan pemimpin PAS itu bersama Muhyiddin juga dilihat mampu meredakan kemelut politik yang dilihat masih belum berakhir sepenuhnya.

Cadangan sama turut dilontarkam Ketua Pemuda Bersatu (Armada) Kelantan, Asran Alias turut mencadangkan Hadi bagi memegang jawatan itu.

Menurutnya, Umno tidak perlu menekan perdana menteri untuk memilih Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi sebagai calon Timbalan Perdana Menteri.

Ditanya mengenai kelewatan kerajaan Perikatan Nasional membentuk kabinet, Hadi berkata: "Cermat dan teliti daripada Allah SWT, gopoh daripada syaitan," katanya lagi.

Mengulas mengenai kemungkinan kerajaan PAS Kelantan dan Terengganu akan disertai Umno selepas tertubuhnya Perikatan Nasional, Hadi berkata ia akan ditentukan selepas isu di peringkat pusat selesai.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar ketika ditanya kemungkinan akan menarik Umno dalam kerajaan negeri pimpinannya berkata perkara itu akan diteliti dari semasa ke semasa, namun sehingga kini belum ada perbincangan mengenainya.

"Kita nak pastikan perjalanan (kerajaan negeri) lancar, kita akan teliti dari semasa ke semasa, apa saja boleh berlaku.

"Kita tengok penyelesaian peringkat pusat, tidak barapa lama lagi. Apa yang penting tak ganggu perjalanan negeri jika ada perubahan," jelas beliau.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS