Latheefa Koya mengesahkan sudah meletakkan jawatan sebagai ketua ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dalam kenyataan medianya hari ini, Latheefa berkata beliau menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 2 Mac lalu.
"Ia keputusan saya sendiri. Spekulasi yang mengatakan saya ditekan (untuk letak jawatan) tida berasas.
"Hasrat saya adalah untuk kembali menjadi pendukung hak asasi manusia," katanya.
Tambah Latheefa, beliau bertemu dengan Muhyiddin semalam dan menjelaskan keputusannya kepada perdana menteri itu.
"Kami berbual mesra dan beliau (Muhyiddin) faham pendirian saya," katanya.
Latheefa berkata beliau juga menerangkan secara ringkas kepada Muhyiddin tentang usaha dan tindakan yang sedang dilakukan SPRM untuk mendapatkan semula dana 1MDB dari luar negara.
"Beliau sangat menyokong dengan tindakan ini," katanya.
"Saya juga ambil kesempatan untuk mengucapkan semoga berjaya kepadanya dan kerajaan baru dalam memperbaiki kebajikan dan kepentingan rakyat," tambahnya.
Kata Latheefa lagi, beliau juga sudah berjumpa dan memberi taklimat kepada timbalannya, Azam Baki seta ketua-ketua jabatan SPRM bagi memastikan penyerahan tugas berjalan lancar.
Latheefa menyatakan keyakinan teradap pegawai-pegawai SPRM.
"Saya meninggalkan jawatan saya dengan keyakinan penuh bahawa SPRM akan terus tidak dikompromi dan tanpa lelah melawan rasuah, tanpa mengambil kira kedudukan atau sokongan politik perasuah.
"Saya berterima kasih kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, rakan setugas di SPRM dan rakyat yang memberi sokongan selama saya menjadi ketua pesuruhjaya SPRM.
"Semoga Tuhan merahmati negara kita," katanya.
Peletakan jawatan Latheefa adalah yang kedua membabitkan pegawai kanan kerajaan selepas Tommy Thomas meninggalkan jawatannya sebagai peguam negara pada 28 Feb lalu.
Latheefa dan Thomas dilantik ke jawatan masing-masing selepas Pakatan Harapan (PH) menang dalam PRU ke-14 pada Mei 2018.