Paling Popular
Terkini

ULASAN | Izinkan saya memulakan tulisan ini dengan memetik sebuah pepatah Arab: Jika engkau menunjukkan kepada seorang Badwi pintu masuk ke rumahmu, maka bukalah luas-luas pintu itu supaya untanya dapat masuk.

Unta adalah haiwan istimewa yang dijadikan Allah khusus untuk penduduk padang pasir. Ciri-ciri fizikal pada unta diciptakan sesuai dengan habitatnya yang sentiasa kering.  

Malah dikatakan unta yang tidak dikerjakan terlalu teruk dan mempunyai akses kepada padang rumput yang baik, ia boleh mendapatkan keperluan airnya daripada kelembapan dalam makanannya.  

Ia boleh hidup tanpa minuman yang sempurna sehingga 10 bulan.

Banyak lagi kelebihan unta. Antaranya mampu berjalan tanpa henti sejauh 45km sehari, selama tiga hari berturut-turut.  Tentunya unta bukan sekadar hadiah Tuhan kepada bangsa Arab, malah merupakan keajaiban yang disuruh secara langsung oleh Dia untuk kita perhatikan.

“Maka apakah mereka tidak memperhatikan unta bagaimana dia diciptakan?” (al-Ghasiyah, ayat 17)

John Adair, seorang ahli akademik British yang mengkaji teori kepemimpinan, turut mengkaji tentang kepemimpinan Nabi Muhammad SAW.

Dia kemudian menghasilkan sebuah buku berjudul The Leadership of Muhammad.  Dalam buku tersebut, Adair menyebut bahawa ciri unta paling hebat ialah keperluan airnya yang sangat minimum. 

Basuh rambut elak uban

Unta berbeza dengan haiwan lain yang kebanyakannya akan keracunan jika tidak kencing dengan cukup. Keadaan itu menyebabkan badan haiwan terbabit tidak mengeluarkan bahan kumuh urea dari tubuh.

Sebaliknya unta mampu mengitar semua ureanya melalui hati untuk membentuk protein baru. Dengan itu, unta mampu memanfaatkan sepenuhnya air dan makanan di dalam tubuhnya.

Mungkin itulah yang menyebabkan kencing unta berbeza dengan haiwan lain, termasuk manusia. Air kencing unta dikatakan berbau harum seperti tumbuh-tumbuhan herba.

Orang Arab Badwi menggunakan air kencing unta untuk membasuh rambut supaya ia kekal hitam. Malah dikatakan seorang bapa yang baru menerima kelahiran bayi, akan keluar dari khemahnya, menendang untanya supaya berdiri dan mengurut usuk kanannya supaya haiwan itu kencing.

Bayi yang baru lahir itu akan dimandikan dengan air kencing unta berbau herba itu.

Baik, kenapa saya bercerita panjang lebar tentang unta dan kencingnya? Kerana sedar tidak sedar, kita telah membuka pintu pentadbiran negara kepada satu gabungan baru yang dinamakan Perikatan Nasional (PN).

Tidak kiralah mereka masuk melalui pintu depan atau pintu belakang, pintu itu telah terbuka luas. Dan mereka telah masuk bersama unta-unta mereka dan terbuka kemungkinan untuk 'haiwan' berkenaan membuang air kumuh merata-rata. 

Tapi kita tidak perlu risau air kumuh itu tentunya harum semerbak dan banyak manfaatnya kepada kita semua.

Sebelum kita menyorot beberapa peristiwa untuk dijadikan contoh betapa harum dan bermanfaatnya air kumuh itu, adalah elok untuk kita menitipkan pesan ini dahulu.

Begini. Kepada semua pemimpin PN - tidak kira dari parti mana, baik Umno, baik PAS, atau baik serpihan Bersatu dan PKR - ini pesan kita. Tak perlulah menafikan hal keadaan itu telah, sedang dan bakal ditaburkan.  Sebaliknya, belalah ia dengan dalil-dalil yang diwangikan. Rakyat pun hidup aman sejahtera.

Jika kita bersetuju bahawa, maka keadaan negara kita yang tenat serba-serbi ini akan terubat segera.

Untuk memahaminya, mari kita menyorot dua peristiwa yang telah dirakam sejarah.

Bukan kerajaan PAS saja

Pertama, pada hari Selasa lalu, seorang pemimpin PN dari PAS mengeluarkan kenyataan bahawa manifesto parti itu pada PRU14 hanya boleh dilaksanakan mereka menjadi kerajaan Malaysia tanpa dibantu parti lain.

"Kena ingat, manifesto itu kalau kita jadi kerajaan (sendiri), sekarang ini bukan kerajaan PAS tetapi kerajaan Perikatan Nasional.

"[..] Kita hanya sebahagian kecil, jadi bagaimana kita nak laksanakan semua? Lainlah (jika) ini kerajaan kita atau kita menguasai sebahagian besar kerajaan," kata Naib Presiden PAS, Mohd Amar Abdullah.

Dengan itu, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa padamlah harapan rakyat Malaysia untuk melihat kerajaan PN memansuhkan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Janji memansuhkan bayaran semula PTPTN itu ada diikrarkan PAS pada 2018 lalu.

Di sinilah kita - sebagai rakyat - perlu faham bahawa ini adalah contoh 'kencing' wangi yang dan bermanfaat. Ini adalah ubat kepada keadaan ekonomi kita yang semakin menghimpit, selepas ia merudum akibat krisis Covid-19. 

Jadi, janganlah kita sibuk-sibuk menuntut itu ini daripada janji PAS.  Berikan peluang kepada mereka untuk mentadbir ekonomi kita sebaiknya. Kita yakin PAS akan cemerlang kerana kini tiada lagi DAP dalam kerajaan pusat.

Kedua - dan ini belum lagi dapat kita pastikan sebagai wangi atau tidak. Dalam ucapan pertamanya sebagai perdana menteri, Muhyiddin Yassin berjanji akan melantik anggota kabinetnya daripada kalangan orang yang bersih, berintegriti dan berkaliber.

Tanpa perlu menyebut sesiapa, tentulah kita memahami bahawa sesiapa sahaja yang terkait dengan kes-kes berprofil tinggi di mahkamah itu tidak boleh dikatakan bersih, berintegriti atau berkaliber. 

Bagaimana kalau nanti, kabinet yang terbentuk masih mempunyai individu yang tidak sepatutnya itu?

Iyalah, dengan apa yang ada di depannya, kita pun fahamlah kesukaran yang dihadapi perdana menteri ketika ini. Janganlah kita nanti marah-marah atau menyindir beliau sebagai tidak menepati janji.

Kita perlu fahami bahawa ini adalah kewangian yang bermanfaat maksimum. Manfaat paling jelas adalah kepada agama Islam apabila tiada sesiapa saja dari DAP yang menjadi menteri.

Situasi itu saja cukup untuk melayakkan kita untuk sujud syukur berkali-kali kerana kegembiraan, dan kemudian rakaman itu sesuai untuk ditularkan.

Kita baru saja masuk beberapa hari di bawah kerajaan PN.  Selamat menempuh hari-hari mendatang.  Ingat PN, ingatlah kencing unta. Ia harum dan mengubat.  Mudah-mudahan negara kita akan segera terubat.


NAJMUDDIN YUSOFF ialah ahli politik dan penulis separuh masa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS