Paling Popular
Terkini

ULASAN | Malaysia baru sahaja menyaksikan rampasan kuasa daripada kerajaan yang dipilih secara demokratik yang mengejutkan banyak pihak.

Kerajaan 'pintu belakang' itu dipimpin Muhyiddin Yasin dengan tindakannya membawa masuk sokongan daripada ahli politik Umno, termasuk yang berdepan puluhan dakwaan kes rasuah di mahkamah.

Bersama Umno dalam Perikatan Nasional (PN) itu ialah PAS, sebuah parti yang mendakwa mereka sebagai gerakan Islam.

Di luar negara beberapa hari selepas itu, Benjamin Netanyahu - yang berhadapan kes rasuah di mahkamah - dipilih sekali lagi oleh rakyat Israel untuk menjadi perdana menteri.

Kita semua tahu sebelum ini Umno dan PAS pernah mengutuk sekeras-kerasnya rakyat Israel yang menyokong kerajaan Nentanyahu kerana dianggap rasis dan korup.

Banyak ironi terdapat di sini. Entah disedari atau tidak, Umno dan PAS - yang selama ini mengecam Israel dan Nentanyahu sebagai rasis - juga mengamalkan sikap perkauman yang menebal di negara kita.

Sementara di luar negara Netanyahu didakwa dengan kes rasuah di mahkamah, dalam negara pula ramai pemimpin Umno juga sedang terpalit dengan dakwaan sama.

Dipilih melalui pilihan raya

Antaranya ialah Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi; bekas presiden Umno, Najib Razak dan bekas pengerusi Lembaga Tabung Haji, Abdul Azeez Abdul Rahim.

Tidak ketinggalan, bekas setiausaha agung Umno, Tengku Adnan Mansor, yang semalam dapat kita ketahui bahawa nilai hartanya hampir mencecah RM1,000,000,000. Atau dalam perkataan: Satu billion ringgit!

Umno yang menuduh Netanyahu bersikap rasis dan rasuah, juga banyak terlibat dalam isu dan perkara yang sama.

Namun bukanlah kedua-dua entiti itu mempunyai persamaan saja. Masih ada perbezaan di antara mereka dan ia agak ketara jika dilihat situasi di Israel dan di Malaysia.

Netanyahu dan kerajaannya naik kerana dipilih oleh Israel melalui pilihan raya umum. Sama ada pilihan mereka itu betul atau tidak, ia adalah isu lain. Tapi rakyat Israel diberikan hak untuk membuat pilihan mereka.

Di Malaysia pula, majoriti rakyatnya memberikan kepercayaan kepada PH dan ia adalah sah di sisi undang-undang. Semasa menjadi kerajaan, antara tugas yang diberi keutamaan oleh PH ialah mengekang amalan rasuah serta mengawal isu perkauman.

Namun kini kerajaan PN yang dipimpin Muhyiddin masuk ke Putrajaya melalui jalan belakang, sekali gus merampas hak rakyat yang menolak sebahagian daripada parti yang memberikan dukungan kepada beliau.

Ia amat memalukan dan tindakan tersebut boleh dianggap bercanggah dengan identiti bangsa Melayu yang mengutamakan maruah serta harga diri.

PAS yang bersekongkol dengan Umno pula secara tanpa segan-silu melanggar janji mereka untuk tidak mendirikan kerajaan melalui pintu belakang.

Dimanakah maruah agama dan bangsa yang dilaung-laungkan sebelum PAS apabila kerajaan mereka di Perak dijatuhkan oleh Umno-BN suatu masa dulu?

Bagaimanap PAS boleh berubah sikap begitu mudah dengan menghalalkan tindakan melalui Langkah Sheraton baru-baru ini?

Dahulu PAS berkali-kali menyatakan bahawa mereka menyertai pilihan raya adalah untuk mendapat reda Allah semata-mata, bukannya mahu menjadi kerajaan sebagai matlamat utama.

Hari ini mereka mendirikan kerajaan pintu belakang dengan cara yang sama diambil Umno di Perak dulu.

Rakyat perlu menilai situasi hari ini. Hak mereka telah dicabuli melalui konsep kerajaan pintu belakang. Bukan hanya di peringkat persekutuan tetapi juga di peringkat negeri.

Adakah ini nilai yang di tuntut di dalam Islam ?

Islam mengutamakan akhlak yang mulia dan mesti menjadi amalan sepanjang masa.


RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH RAJA AHMAD ialah pengerusi PH Terengganu merangkap anggota Dewan Negara.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS