Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan terhadap kekayaan dimiliki Setiausaha Agung BN, Tengku Adnan Mansor, selepas ia didedahkan bernilai ratusan juta ringgit semalam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, berkata beliau sudah mengeluarkan arahan kepada agensi berkenaan agar siasatan tersebut dijalankan.

Untuk rekod semalam Tengku Adnan memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, beliau memiliki aset bernilai kira-kira RM800 juta.

"SPRM berpendapat ini adalah hal yang serius dan saya memberikan arahan agar siasatan dimulakan," kata Latheefa semasa ditemui wartawan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu beliau hadir sebagai saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana SRC International Sdn Bhd membabitkan bekas perdana menteri, Najib Razak.

Menurut Latheefa, penekanan yang diberikan SPRM bukanlah mengenai pendedahan aset Tengku Adnan, sebaliknya berkaitan cara ia diperolehi.

Semalam hal itu terdedah ketika Tengku Adnan menjawab soalan pihak pendakwaan berhubung perbicaraan kes rasuahnya.

Semasa ditanya berkenaan hal itu, Tengku Adnan dilaporkan berang dan mendakwa berasa ditindas.

Sebelum itu hakim menolak permohonan pasukan pembelaan Tengku Adnan yang memohon agar pengisytiharan harta beliau dibuat secara tertutup.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata orang ramai harus dibenarkan mendengar perincian aset Tengku Adnan agar perbicaraan itu dilihat sebagai telus dan adil.

Disoal peguam belanya, Tan Hock Chuan, Tengku Adnan berkata beliau mengisytiharkan aset RM938,643,566.16 pada 2001 semasa Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.

Wakil rakyat dipilih Muhyddin

Tengku Adnan dilantik sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri pada tahun berkenaan.

Pada tahun 2006 pula Tengku Adnan mengisytiharkan asetnya berjumlah RM711,325,822. Pada masa itu, beliau dilantik sebagai Menteri Pelancongan oleh Abdullah Ahmad Badawi.

Pada 2013, Tengku Adnan mengisytiharkan asetnya berjumlah RM691,770,649 kepada Najib Razak. Tengku Adnan adalah Menteri Wilayah Persekutuan untuk keseluruhan penggal.

Pada 2016, Tengku Adnan membuat perisytiharan aset sebanyak RM782,748,061.

Sementara itu Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin, tampil membela Tengku Adnan.

Kata Bung Moktar, ahli parlimen Putrajaya itu memang seorang bilionair tetapi asetnya itu bukan diperolehi dengan mencuri melalui jawatan dalam kerajaan.

"Dia seorang billioner (sic), Ku Nan bukan mencari duit melalui jawatan dalam kerajaan.

"Sebelum masuk kerajaan Ku Nan dah memiliki beratus-ratus juta ringgit, bukan macam menteri PH yang mencari kesenangan dalam pemerintahan.

"Dah hilang kuasa ada yang menangis, PH jatuh coz (sebab) banyak menteri bangang," katanya di Twitter.

Ahli parlimen Kinabatangan itu menciap sebagai mengulas kenyataan dibuat Hannah Yeoh (Segambut).

"Inilah standard wakil rakyat yang Muhyiddin dan Azmin Ali pilih untuk bekerjasama membentuk kerajaan di Putrajaya," kata Yeoh.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS