Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai tertinggi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di Putrajaya.
Pertemuan itu bagi mendapatkan maklumat mengenai perkembangan sektor perdagangan antarabangsa dan pelaburan asing dalam negara.
Kementerian itu dahulunya diterajui anggota parlimen Penampang Darell Leiking sebelum keraajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang minggu lalu.
Berdasarkan hantaran di laman Facebook rasmi Muhyiddin, pertemuan itu melibatkan ketua setiausaha dan pegawai-pegawai atasan kementerian berkenaan.
“KSU MITI juga menerangkan tentang status terkini penganjuran sidang Apec (Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik) di mana Malaysia akan menjadi tuan rumah pada bulan November tahun ini,” menurut hantaran berkenaan.
Muhyididn juga pernah berkhidmat sebagai menteri MITI pada 2008 hingga 2009 bawah pentadbiran perdana menteri kelima Abdullah Ahmad Badawi semasa pemerintahan BN.