Perdana Menteri Muhyiddin Yassin melantik Marzuki Mohamad sebagai ketua setiausaha sulitnya.
Pelantikan itu berkuat kuasa pada 1 Mac lalu, tarikh Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan.
Dalam suatu kenyataan, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan Marzuki, 46 tahun pernah berkhidmat di bawah Muhyiddin dengan memegang berbagai jawatan, bermula sebagai pegawai khas dari 2009 ke 2013 ketika Muhyuddin menjadi timbalan perdana menteri kerajaan BN.
Marzuki yang juga graduan undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) juga pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada Muhyiddin di Kementerian Pendidikan dari 2003 ke 2015. Kemudian beliau dilantik sebagai pegawai tugas-tugas khas apabila presiden Bersatu itu dilantik menjadi menteri dalam negeri di bawah kerajaan Pakatan Harapan pada 2018.
Marzuki mendapat ijazah sarjana sains sosial dalam pengajian politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan memperolehi ijazah doktor falsafah (PHD) dari Australian National University. Beliau juga pernah menjadi pensyarah dan profesor madya undang-undang di UIAM.